KUANTAN – Seramai 40 ahli parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti berkuatkuasa hari ini selepas tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi parti itu.
Langkah itu dimulakan Bendahari Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang, Datuk Roslan Hassan dengan mengumumkan keluar dari parti itu.
Roslan mendakwa barisan pimpinan tertinggi parti tidak cermat, tidak teliti serta gagal memahami keputusan yang telah dibuat oleh mereka sendiri berhubung beberapa isu yang membabitkan penggantungan Jawatankuasa Bahagian Bentong.
Beliau mempertikaikan bagaimana pemimpin Bersatu mampu menguruskan negara sedangkan menguruskan parti pun huru-hara, curang, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.
”Setelah meneliti tiadanya alasan yang kukuh mengapa Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong digantung, maka saya mengandaikan penggantungan ini dilakukan berkemungkinan kerana saya telah menyuarakan secara lantang tidak bersetuju dengan beberapa pertukaran dan pindaan yang dibentangkan oleh pimpinan tertinggi parti di Konvensyen Bersatu Peringkat Nasional pada 13 Julai 2024.
”Ia kerana yang terlalu bercanggah dengan Peraturan Persidangan Bahagian-bahagian dan Cawangan-Cawangan yang asal yang selama ini telah digunapakai dengan begitu baik, katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, pertukaran dan pindaan Peraturan-Peraturan Persidangan tersebut bertujuan untuk menyelamatkan pihak-pihak tertentu yang gagal untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
”Maka bagi menutup suara kami, tiada jalan lain melainkan menggantung Jawatankuasa Bahagian Bentong walaupun tiada alasan yang munasabah.
”Kegopohan dan keputusan secara semberono ini dibuat kerana didorong oleh kehendak dan hasrat mengetepikan mereka yang tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi serta cubaan secara curang bagi menaikkan mereka yang mengikut telunjuk kepimpinan meskipun telah terang-terangan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti.
”Maka, sedikit demi sedikit roh perjuangan Bersatu, Beramanah, Bermaruah yang berteraskan prinsip berintegriti akan lenyap dari masa ke semasa,” ujarnya.
Menurut beliau, laungan amanah dan integriti hanya sekadar mainan retorik pemimpin-pemimpin atasan Bersatu dan beliau yakin masyarakat dapat melihat gelagat kebanyakan pemimpin yang semakin hari semakin teserlah sifat buruk dan tidak bersih di dalam menguruskan parti. – MalaysiaGazette