KUALA LUMPUR – Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan melepaskan jawatan FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) berikutan isu penjualan saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam syarikat itu.
Mereka yang turut memohon maaf berikutan tercetusnya isu tersebut berkata, tindakan itu diambil bagi mengelak isu terbabit terus menjejaskan syarikat yang kini dalam fasa pemulihan.
“Mereka (PNB dan Khazanah) sentiasa bertindak secara profesional dan dalam kepentingan terbaik organisasi masing-masing.
“Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan lain,” katanya dalam kenyataan bersama, hari ini.
Menurut Vivy dan Fadzaruddin, mereka akan mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan pelaburan dan pada hakikatnyatelah mengecewakan para pelabur.
Isu tercetus apabila Khazanah dan PNB melupuskan kepentingan dalam FashionValet apabila nilai jualan saham itu hanya mengutip RM3.1 juta berbanding pelaburan yang dibuat sebanyak RM47 juta pada tahun 2018.
Berikutan itu masyarakat mempersoalkan bagaimana kerugian boleh berlaku pada syarikat yang terkenal.
Kedua-dua usahawan itu berkata,kesilapan dilakukan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan walaupun ketika pandemik Covid-19 dan mereka kecewa serta menyesal apa yang berlaku.
Menurut kenyataan itu, keadaan menjadi kritikal biarpun mereka cuba mengurangkan kos termasuk menutup platform e-dagang.
Tambahnya, mereka secara peribadi akan terus menampilkan imej positif dan penuh harapan dan berharap ia akan menanam keyakinan terhadap jenama dan produk syarikat. – MalaysiaGazette