Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior di universiti berkenaan adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, ini kerana mangsa merupakan penuntut Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di bawah selain kementerian terbabit.

Beliau menjelaskan, masyarakat perlu faham bahawa terdapat dua institusi terlibat membabitkan dua kementerian dalam kes buli itu.

“Dalam konteks UPNM, dia ada dua institusi iaitu pertama, UPNM dan kedua, ALK. Yang berlaku ini adalah di akademi  itu sendiri. Namun kita tidak boleh melepaskan (perkara sedemikian).

“Seperti mana disebut oleh Perdana Menteri, apa sahaja, institusi mana sekali pun, dalam konteks hari ini dalam akademi tentera. Semua itu kita kena beri perhatian serius kerana perbuatan buli yang melampau tidak boleh kita benarkan sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid UPNM bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra pada kenduri rakyat di Perkarangan Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 1 NOVEMBER 2024.

Mengulas lanjut, Zambry menjelaskan, UPNM dan ALK memiliki tanggungjawab masing-masing ke atas pelajar bagi tempoh yang berbeza.

Menurut beliau, pelajar berada di bawah tanggungjawab UPNM ketika mengikuti kuliah bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Ujarnya, selepas waktu itu, pelajar adalah di bawah bidang kuasa ALK.

“Ia agak unik sikit dalam konteks UPNM ini kerana mereka datang ke sini, sebahagian daripadanya akan menjalani latihan pegawai kadet dan mereka diletakkan di bawah ALK. Sebelah pagi, mereka pergi ke kuliah,” ujar beliau.

Sebelum ini, seorang pegawai kadet ALK UPNM dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.

Individu itu difahamkan didera menggunakan seterika yang ditekap pada dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.

Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di ALK UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

ATM dalam kenyataan turut memberitahu kejadian itu membabitkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast