Bersama kanak-kanak di Ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Universiti Kebangsaan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) memperkukuhkan kerjasama strategik dalam penyediaan fasiliti pendidikan dan kesihatan untuk rakyat Malaysia.

Kerjasama strategik antara dua pihak ini telah direalisasikan melalui Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf dan Perasmian Ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital bertempat di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Universiti Kebangsaan Malaysia
baru-baru ini.

Ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital ini merupakan hasil kolaborasi pintar Yayasan Canselor, Fakulti Pendidikan UKM dan Hospital Tunku Ampuan Besar Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM. Ruang ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Gafor.

“Penglibatan pihak Industri dalam memberi penajaan dan membantu penyediaan fasiliti terbaik kesihatan dan pendidikan di Malaysia khususnya melalui sumbangan berbentuk endowmen dan wakaf amat digalakkan selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melibatkan kerjasama strategik antara pemain industi dan institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital ini telah dinaik taraf dengan lebih menarik dan futuristik yang dilengkapi dengan peralatan kreatif untuk aktiviti seni, yang direka khusus untuk menyokong aspek perkembangan mental dan emosi kanak-kanak dalam situasi kesihatan yang mencabar.

Ruang ini bukan sahaja melengkapkan keperluan pendidikan pesakit kanak-kanak di hospital tetapi juga membantu pihak guru untuk proses pembelajaran dan berinteraksi dalam suasana yang menyenangkan, sekali gus mempercepatkan proses pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, inisiatif Ruang Oasis Minda ini. Kami akan memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk meneruskan pembelajaran dalam suasana yang kondusif sepanjang menerima rawatan di hospital.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kami dalam memastikan kebajikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik sentiasa terpelihara.” ujarnya.

Dengan terlaksananya Ruang Oasis Minda@Sekolah Dalam Hospital, UKM berharap sumbangan wakaf yang digunakan untuk penyediaan ruang ini dapat memupuk semangat dan motivasi kepada kanak-kanak yang menerima rawatan untuk terus berusaha dalam pelajaran walaupun berhadapan dengan ujian kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast