KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberi amaran tegas tiada tolak ansur dalam budaya buli di universiti dan pusat pendidikan di negara ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tersebut berkata, budaya negatif tidak boleh berlaku di pusat ilmu apatah lagi mahu dianggap sebagai satu amalan biasa.
Ujarnya beliau, isu itu bagaimanapun melibatkan kelompok kecil dan tidak mewakili keseluruhan mahasiswa termasuk dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, Maahad Tahfiz dan sekolah agama.
“Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu disiplin itu mendidik manusia. Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan. Ini cabaran bagi setiap pimpinan naib canselor, profesor dan pensyarah termasuk saya dan menteri.
“Jadi program pendidikan dan nilai mesti ditekankan. Ini kerana kita ambil sikap permisif, mengalah dan bertolak ansur terhadap pembuli. Ia tidak boleh berlaku kalau budaya menolaknya.
“Saya bagi tahu kepada Menteri Pendidikan, jangan tolak ansur. Bagi amaran dan nasihat jangan tolak ansur sama sekali kerana tak nak berlaku secara terpisah kerana berlaku dalam budaya,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam Program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.
Individu itu difahamkan didera menggunakan seterika yang ditekap pada dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.
Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
ATM dalam kenyataan turut memberitahu kejadian itu membabitkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan. – MalaysiaGazette