KUALA LUMPUR – Desakan agar Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah melepaskan jawatan masing-masing kerana perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan terhadap segelintir pihak dalam memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan bukanlah satu amalan sihat dan professional dalam pengurusan dan kepimpinan organisasi.

“Sebagai sosok yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran Islam, kehakiman, perundangan syariah, pengurusan haji, umrah dan lain-lain, desakan demikian bukanlah satu amalan sihat dan professional dalam pengurusan dan kepimpinan organisasi. Melainkan jelas perkara tersebut melibatkan isu pelanggaran tatakelola atau terbukti tidak kompeten,” kata Presiden PPSM, Abu Suffian Abu Yaziz dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, semua pihak perlu menghormati langkah kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan dalam usaha mengangkat martabat dan kedudukan institusi mufti sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan dan akta yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan.

Lantaran itu, PPSM mahu mana-mana pihak segera menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab dan melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran syariah dan hal ehwal Islam

“PPSM menolak sebarang alasan oleh mana-mana pihak supaya Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Dr. Luqman Abdullah meletakkan jawatan dalam melaksanakan tugas disebabkan perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan terhadap segelintir pihak dalam memuktamadkan isu ini

“Sewajarnya perbezaan ini menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad dalam kalangan umat Islam mutakhir ini,” kata Abu Suffian lagi.

Lagipun, faktanya, RUU Mufti Wilayah Persekutuan dilakukan berlandaskan undang-undang sedia ada yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

“Kembalikan semula sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan masyarakat Madani serta ketepikan andaian yang bersifat dangkal dan sempit.

“PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni adabul ikhtilaf seperti mana diamalkan oleh Salafus Soleh dalam meletakkan kedudukan syariat Islam dan menterjemahkan amal Islami yang mulia dan berkeperibadian tinggi,” ujar beliau.

Sebelum ini, seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin menyarankan agar Mohd Na’im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Malah menurut Abu Hafiz, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang “lebih baik” dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here