JOHOR BAHRU – Seorang usahawan wanita mendesak pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham memulangkan baki wang tuntutannya berjumlah RM249,675.60.
Pengarah Nita Sahari Properties Sdn Bhd, Juwita Mohd Sahari berkata, jumlah itu merupakan baki keseluruhan sebanyak RM999,675.60 yang sudah dilaburkannya ke dalam syarikat Uncle Zam Holdings pada April 2021.
Sehubungan itu, beliau menggesa Zamsaham tampil bagi menyelesaikan pembayaran tuntutan mengikut amaun yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.
Menurutnya, Zamsaham diberi tempoh dua bulan selain berjanji akan membayar semua hutang namun apabila sampai masa dijanjikan gagal berbuat demikian.
“Saya terus buat notis tuntutan (NOD). Ia merupakan tindakan saman tapi waktu itu (selepas serah NOD) dia ada buat pembayaran cuma baki RM249,675.60 sahaja belum dilunaskan.
“Jumlah pembayaran sebelum ini dia buat secara beransur-ansur,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Nita Sahari Properties, Bandar Baru Uda hari ini.
Juwita berkata, sebelum ini, pihak Uncle Zam Holdings pernah menghubunginya untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah namun beliau tidak bersetuju.
Usahawan berkenaan kemudian berjaya mendapatkan tindakan mahkamah untuk kes tersebut.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berputus asa dengan perkembangan terkini itu dan sedang mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan alamat terkini Uncle Zam Holdings.
“Dalam hal ini, kami mempunyai dua pilihan untuk dipertimbangkan iaitu pertama meminda writ penyitaan dan penjualan yang sedia ada dengan alamat baharu.
“Kedua memfailkan notis pemberhentian terhadap writ sedia ada dan membuat pemfailan semula secara keseluruhan dengan alamat baru,” ujarnya.
Juwita berkata, selepas berbincang dengan peguamnya, pihaknya percaya pilihan kedua adalah lebih praktikal dan berpotensi mempercepatkan proses pelaksanaan.
Langkah itu, katanya, akan membolehkan pihaknya mengatasi isu yang timbul akibat alamat yang tidak lagi sah dan berhasrat untuk memastikan proses itu dijalankan dengan efisien.
“Sebelum membuat keputusan akhir, kami akan melakukan semakan menyeluruh dengan carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terkini serta menggunakan medium carian lain untuk memastikan alamat baharu tepat dan berbeza daripada alamat digunakan dalam writ sedia ada.
“Sekiranya alamat tersebut berbeza, kami akan memfailkan notis pemberhentian dan memasukkan semula writ dengan alamat yang baru,” tambahnya.- MalaysiaGazette