Kredit : Fb SPRM

KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Presiden Assembly of Parties (AoP) Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) merupakan peluang kepada Malaysia untuk menyumbang secara besar-besaran kepada penggubalan dasar antirasuah di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata pelantikan berprestij itu, yang pertama buat negara, dilihat sebagai bukti pengaruh dan komitmen Malaysia semakin meningkat dalam memerangi rasuah.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Azalina, kedudukan Malaysia dalam memajukan inisiatif antirasuah global akan meningkat dengan ketara.

“Pelantikan beliau mencerminkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi dalam memerangi rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu lepas, Azalina dilantik sebagai Presiden Sesi Ke-13 AoP IACA pada Perhimpunan AoP di Vienna, Austria.

Azalina akan memimpin Biro AoP serta keanggotaan IACA terdiri daripada 77 negara dan empat pertubuhan antarabangsa dalam pembentukan dasar dan strategi IACA untuk memperkukuh peranan akademi berkenaan dalam bidang pendidikan dan latihan antirasuah profesional.

Sejak sesi pertama AoP IACA yang berlangsung pada 2012, Malaysia hanya pernah dipilih sebagai naib presiden dalam empat sesi mesyuarat iaitu pada sesi 2014, 2015, 2019 dan 2023.

Dalam kenyataan itu, Azam turut mengumumkan pelantikan semula beliau sebagai anggota Board of Governors (BoG) IACA bagi sesi 2024-2027.

Beliau berkata peranannya dalam BoG akan memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam menetapkan hala tuju IACA dan memastikan agenda pencegahan rasuah yang lebih berkesan dapat dicapai.

“Pelantikan semula ini adalah bukti pengiktirafan kepakaran dan dedikasi Malaysia terhadap usaha pencegahan rasuah,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU) Prof Datuk Dr Kassim Noor Mohamed dalam kenyataan sama menyifatkan pelantikan Azalina sebagai satu pencapaian penting buat negara.

Kassim berkata pengiktirafan global ini sudah lama dinantikan dan melambangkan satu langkah positif bagi Malaysia di pentas antarabangsa.

Beliau berkata pelantikan Azalina dan Azam adalah penting untuk mempercepatkan usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

“Kita seharusnya berbangga dengan pelantikan ini kerana ia mengakui dan mengiktiraf keseriusan kerajaan dalam memerangi rasuah.

“Namun perjuangan memerangi rasuah mempunyai perjalanan sangat panjang, masih banyak perlu dilakukan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya, sambil menekankan perlunya tindakan berterusan daripada kerajaan dan komitmen yang teguh daripada SPRM.

Menurut kenyataan itu, peranan kepimpinan dijangka meningkatkan pengaruh Malaysia dalam perbincangan antirasuah global dan mengukuhkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai pusat latihan utama di rantau Asia Pasifik.

Melalui perkembangan ini, kedua-dua pegawai dan penyokong antirasuah berharap untuk satu usaha yang diperbaharui dan lebih bersemangat dalam memerangi rasuah, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia untuk menegakkan integriti dan ketelusan di dalam dan luar negara. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Memalukan…bila mana ketua hakim sendiri dilantik tidak melalui prosedur yg betul..lebih memalukan Jasmine Loo yg terang2an menerima habuah rasuah & lari ke Bangkok dibela dan dilindungi oleh kerajaan..malah di jadikan saksi…perasuah jd saksi? Shame on U Azalina

Comments are closed.