Ab Rauf melakukan gimik pada Majlis Perasmian Pra Pelancaran Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’ 24) di Courtyard Melaka hari ini.

MELAKA – Semua pemilik premis khususnya dapur atau restoran hotel  di negeri ini digesa memohon pensijilan halal untuk meningkatkan lagi kedudukan Melaka sebagai hab halal antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia juga selaras dengan anugerah Halal State Performance Excellence Award yang diterima daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 29 Oktober lalu.

Menurut beliau, pengiktirafan itu jelas mempamerkan Melaka merupakan negeri yang menjulang hab halal terbaik dan perlu dicontohi semua.

“Setakat ini kita telah berjaya merekodkan lebih 300 syarikat dan produk halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jauh lebih tinggi pada awal dekad lalu hanya puluhan sahaja perniagaan halal.

“Tahun ini, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebagai agensi yang menguruskan permohonan pensijilan halal di Melaka
telah menerima lebih 400 permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pra Pelancaran Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’24) di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, MIHF’24 anjuran MAIM Holdings Berhad yang julung kalinya diadakan di Melaka menambahkan lagi keyakinan pelancong khususnya dalam aspek halalan toyibban.

Shaifulfazlee Mohamad

Sementara itu, Shaifulfazlee berkata, MIHF’ 24 bertemakan ‘Mengoptimum Industri Halal’ yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Disember ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dilihat dapat memupuk pertumbuhan mampan dalam industri halal global.

“Festival ini menawarkan peluang kepada 450 pempamer dari 10 buah negara antaranya Bangladesh, Vietnam, Filipina dan Namibia untuk menampilkan produk halal meliputi sektor makanan dan minuman, kosmetik, kesihatan hingga pelancongan.

“Kami menyasarkan 10,000 pengunjung termasuk dari Singapura, Indonesia dan negara dari Timur Tengah untuk mengukuhkan peranan Malaysia khususnya Melaka sebagai hab halal antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast