KUALA LUMPUR – Hanya bermula dengan hobi permainan kad dagangan (TCG) pada 2020, siapa sangka ia mampu menjana untung puluhan jutaan ringgit kepada Kuik Guan Rong yang kini bergelar jutawan muda.
Pelajar institusi pengajian tinggi swasta itu mula berjinak dengan permainan itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya menerusi saluran Youtube bagi mengisi masa lapang.
Namun daripada hobi itu, dia mula serius menyertai pertandingan kecil bermula dengan modal permulaan tidak sampai RM1,000.
Kemuncaknya, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu menyertai pertandingan Kejuaraan Dunia yang diadakan pada Mac lalu.
“Pada pertandingan itu, saya berjaya memenangi TCG dengan nilai USD3.5 juta atau RM10 juta. Selepas itu pada September lalu, kad dagangan itu telah dibeli oleh seorang pengumpul dari Taiwan dengan nilai yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pertandingan TCG Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pertandingan itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mengulas lanjut, Guang Rong yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu berkongsi rahsia bagaimana menjadi pemain TCG yang berjaya.
Kata pelajar undang-undang itu, seseorang pemain perlu sering menyertai pelbagai pertandingan untuk mengasah kemahiran mereka.
Ujar beliau, dia juga bertuah kerana mendapat sokongan kuat kedua ibu bapanya.
“Nasihat saya kepada anak muda lain agar keluar daripada zon selesa kerana banyak peluang baharu yang boleh diterokai,” katanya yang baru menggunakan sebahagian kecil wang daripada RM10 juta itu menyelesaikan hutangnya.
Sementara itu, tarikan utama TCHKL yang dianjurkan buat kali kedua dengan kehadiran ilustrator terkenal Jepun yang popular dengan karikatur Pokemon, Mitsuhiro Arita selain ilustrator, Sunohara yang dikenali dengan karyanya dalam TCG One Piece dan Julian Kok sebagai ilustrator terkemuka untuk Magic: The Gathering.
Pengarah Acara TCGKL, Iman Humaira Mohd Zaid berkata, pihaknya menyasarkan dapat menghimpunkan hampir 10,000 peminat kad dagangan dari Malaysia dan global pada acara yang berakhir esok.
“Industri TCG yang semakin berkembang ini merupakan cara terbaik untuk melibatkan diri dan mempamerkan barang koleksi mereka kepada bakal individu.
“Kali pertama TCGKL.MY yang dianjurkan di Malaysia tahun lalu, kami hanya dapat menghimpun hanya 300 pengumpul namun tahun ini ada yang datang dari Amerika Syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette