BUTTERWORTH – Seorang remaja lelaki ditemui maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya di soket sebuah bas ekspres di Terminal bas Penang Sentral, di sini, semalam.
Mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemui dalam keadaan tangan kirinya melecur di tempat duduk penumpang bas tersebut sebelum pemandu berusia 36 tahun itu memaklumkan kejadian kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 7.40 malam.
Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit berpandukan keadaan penghujung kabel cair serta peranti tersebut turut berada dalam keadaan panas.
“Hasil temubual pemandu bas itu mendakwa mangsa menaiki bas ekspres untuk ke KL Sentral pada jam 6 petang.
“Namun 10 minit kemudian, salah seorang penumpang memaklumkan kepada pemandu bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.
“Susulan itu, pemandu tersebut menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Anuar, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Seberang Jaya hari ini mengesahkan lelaki itu meninggal akibat renjatan elektrik dan tiada kecederaan lain.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video 17 saat memaparkan seorang lelaki sedang memberikan rawatan awal kepada mangsa renjatan elektrik. – MalaysiaGazette