KUALA LUMPUR – Yayasan Perkasa Siswa (YPS) melancarkan sebuah platform baharu dikenali MySiswaPlace sebagai satu inisiatif ke arah digitalisasi kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ia kerana portal berkenaan akan menjadi platform mendapatkan maklumat berkaitan gaya hidup masa kini dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran di kampus.
“MySiswaPlace merupakan satu platform diwujudkan untuk membantu para pelajar umpamanya menyalurkan bantuan baucar buku dan kita akan segerakan supaya pemberian ini dapat diagihkan kepada mereka.
“YPS ini adalah hasil daripada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang kita adakan dan ia diwakili oleh mereka.
“Sumbangan yang masuk kerajaan dalam yayasan ini akan diagihkan kepada mahasiswa yang memerlukan termasuk mereka yang tidak berkemampuan dan memerlukan pembelaan dengan segera,” katanya pada majlis pelancaran Portal MySiswaPlace baru-baru ini.
YPS telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai penyelaras bagi Pemberian Inisiatif Baucar Buku Fasa Kedua 2024 dan bagi tujuan tersebut, YPS telah membangunkan platform MySiswaPlace.
Perancangan jangka masa panjang MySiswaPlace turut melangkaui keperluan hanya untuk penebusan baucar dan pembelian buku.
Portal berkenaan juga bakal menjadi pusat sehenti bagi mahasiswa untuk mendapatkan pelbagai bantuan dan geran daripada YPS secara online yang mana ia akan meningkatkan lagi tahap kecekapan pengurusan penyaluran sumbangan kepada mahasiswa yang berkeperluan sepanjang pengajian di kampus.
Mahasiswa boleh menebus baucar dan membuat pembelian melalui laman web MySiswaPlace di www.mysiswaplace.my sehingga 31 Disember ini. – MalaysiaGazette