KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 Nov ini.
Anwar ke China atas jemputan Perdana Menteri Li Qiang, untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ke-7 (7th CIIE) di Shanghai dan akan ditemani beberapa menteri Kabinet
Menurut Wisma Putra, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai Negara Kehormat pada 7th CIIE tahun ini.
“Semasa di Shanghai, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang bagi berbincang hubungan dua hala susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun 2024 serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” kata Wisma Putra dalam kenyataan tersebut.
Antara menteri yang akan mengiringi Anwar adalah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
CIIE adalah inisiatif oleh Kerajaan China untuk menyediakan platform kepada negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) untuk mempromosikan dan mengeksport produk dan perkhidmatan ke negara tersebut.
Semasa majlis pembukaan 7th CIIE di Shanghai, Anwar akan menyampaikan ucapan dan merasmikan Pavilion Malaysia dan Pavilion Dewan Perdagangan dan Industri Bersekutu Cina Malaysia (ACCCIM).
Perdana menteri juga akan menyertai pelbagai mesyuarat perniagaan secara satu-satu dan mengadakan sesi meja bulat dengan ketua-ketua industri dari China, tambah Wisma Putra lagi.
Anwar juga dijadualkan melawat Beijing selama dua hari bermula 6 November dan membuat kunjungan hormat kepada Presiden Xi Jinping.
Beliau juga akan menyampaikan ceramah bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking, dan melawat Pusat Taklimat Eksekutif Huawei.
“Lawatan ini akan memperkukuh hubungan dua hala yang erat ketika Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini,” kata Wisma Putra lagi.
China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar Malaysia sejal 15 tahun berturut-turut sejak tahun 2009.
Pada tahun 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada dagangan global Malaysia.
Sehingga September 2024, jumlah dagangan yang dicatatkan ialah RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).
Dalam separuh pertama tahun 2024, sejumlah 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion (AS$252.5 juta). – MalaysiaGazette