KUALA LUMPUR – Filem komedi seram, Don Dukun, berjaya mencatat kutipan sebanyak RM2.1 juta hanya dalam tempoh tiga hari tayangan.

Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions dan GSC ini telah memukau peminat dengan gabungan elemen seram dan komedi yang menghiburkan hasil arahan Waan Hafiz.

Don Dukun membariskan pelakon Zul Ariffin, Ropie, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Datuk Yusof Haslam, Putri Qaseh serta penampilan istimewa Sharifah Aryana, Serra Kamal, Sharifah Husna, Rashidi Ishak, Aloy Paradok, Zarina Anjolie, Elly Arifin dan Lousia Chong.

Filem ini mengisahkan Don Arif, seorang ‘dukun Instafamous’ yang bercita-cita menjadi sehebat keturunannya, walaupun terpaksa menggunakan pelbagai gimik dan tipu daya untuk memikat pengikutnya di media sosial.

Namun, impiannya dihalang oleh bapanya sendiri, seorang dukun terhormat, yang enggan mengajarnya ilmu keramat warisan keluarga.

Keadaan berubah apabila seorang janda kaya muncul dengan tawaran lumayan untuk memulihkan anak tirinya yang diselubungi gangguan kuasa gelap.

Don Arif mendapati dirinya terjebak dalam persaingan sengit dengan bomoh-bomoh lain yang juga memburu habuan tersebut.

Penerbit Eksekutif Don Dukun merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad gembira dengan sambutan baik daripada penonton untuk filem ini

“Terima kasih penonton Malaysia! Kejayaan ini juga adalah tanda positif bahawa filem komedi seram masih mendapat tempat di hati penonton Malaysia. Kami sarankan kepada penonton di luar sana untuk menyaksikan filem ini bersama seisi keluarga dan bergelak ketawa kecut perut hingga pecah perut,” katanya.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast