KUALA LUMPUR – Pelakon, Che Puan Juliana Evans, 35, masih berminat berlakon dan tidak mahu meninggalkan dunia seni.
Juliana yang juga isteri kerabat diraja Johor dan Selangor, Tengku Shariffuddin Shah sejak 2017, gembira setiap kali berdamping dengan penggiat seni yang sealiran dengannya.
“Sebagai ibu dan manusia, kita perlu terus jadi diri sendiri. Saya melalui apa yang setiap ibu hadapi. Selepas melahirkan anak, anda berubah dari kepala hingga kaki di mana fizikal dan mental semua berubah.
“Kita belajar terima perubahan dengan keutamaan yang sudah berbeza. Namun, pada masa sama, kita sebagai wanita dan ibu ada karier dan sibukkan diri untuk kesihatan mental,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran filem Bisikan Dosa di sini, baru-baru ini.
Katanya, beliau mahu melakukan perkara yang menggembirakannya sebagai penggiat seni.
“Kita buat apa yang boleh buat kita gembira. Macam saya, gembira apabila berada bersama orang-orang seni. Saya fikir, ini adalah suatu perkara yang sihat untuk terus sibuk,” tambahnya.
Berkongsi mengenai pembabitannya dalam filem Bisikan Dosa, Juliana yang membawakan watak Doktor Delina memberitahu, naskhah itu adalah yang pertama dilakonkan selepas melahirkan anak kedua, Jun tahun lalu.
“Saya terima tawaran ini disebabkan kesesuaian watak, lokasi dan masa. Sebenarnya, saya ‘picky’ (memilih) dari awal lagi. Selepas jadi ibu, saya lebih ‘picky’. Sekarang kalau saya berlakon, saya mahu bersedia daripada segi fizikal dan mental,” katanya lagi.-MalaysiaGazette