ISKANDAR PUTERI – Pengendali Ulsan HD, Kim Pan Gon tidak merasa tertekan untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Menurutnya, ini kerana juara baharu K-League 1 itu berada itu berada pada kedudukan tercorot pada saingan ACLE dan gagal mengutip mata dalam tiga perlawanan setakat ini.
Walaupun situasi meruncing, Pan Gon percaya juara K-League 1 tiga tahun berturut-turut itu mampu mengubah kedudukan bermula dengan pertemuan menentang skuad Harimau Selatan.
“Kami amat teruja untuk berdepan JDT yang merupakan pasukan terbaik di Asia Tenggara. Walaupun Ulsan HD berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan Zon Timur, itu tidak bermakna kami mudah untuk dijinakkan.
“Pemain perlu memberi tumpuan penuh ketika berdepan JDT dan tidak boleh melakukan kesilapan, tambahan pula mereka cukup luar biasa apabila beraksi di laman sendiri,” kata bekas pengendali skuad Harimau pada sidang media, di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.
Pan Gon enggan menjadikan rekod pertembungan antara kedua-dua pasukan sebagai ukuran setelah JDT mempunyai kelebihan ketika berdepan dengan kelab Korea Selatan itu.
“Kami mempunyai misi yang jelas untuk mengutip mata pertama dan JDT pastinya adalah cuba sehabis baik untuk menyekat hasrat itu dan tidak mahu kecundang di laman sendiri,” katanya.
Sementara itu, penyerang Ulsan HD, Kim Min Jun bersedia untuk memberikan aksi terbaik apabila berdepan skuad kendalian Hector Bidoglio, sekali gus mencipta kejutan ke atas JDT yang bermain di kubu kuat mereka.
“Analisa yang dilakukan mendapati corak permainan JDT terarah kepada bermain menyerang dari awal perlawanan dan suka untuk menguasai bola dengan membuat hantaran pendek, jadi kita tak boleh terleka dengan pergerakan mereka.
“Tidak dinafikan bukan mudah untuk mengutip mata di sini namun kami percaya kehadiran jurulatih (Pan Gon) yang mengenali permainan kelab Malaysia ini akan memberi impak kepada pasukan untuk bertindak balas,” ujarnya.- MalaysiaGazette