Naib Presiden BERSATU baharu, Datuk Radzi Jidin bercakap kepada media selepas sidang media Jawatankuasa Pemilihan BERSATU bagi mengumumkan keputusan penuh pemilihan parti itu ketika di Ibu Pejabat BERSATU, Yayasan Selangor, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 NOVEMBER 2024.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah berpecah, bahkan kini lebih fokus ke hadapan untuk memastikan parti terus kuat dan dekat dengan hati rakyat dalam mendepani pilihan raya akan datang.

Naib Presidennya yang baharu, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, beliau bersama akar umbi komited untuk bersama dengan kepimpinan baharu setelah proses pemilihan parti selesai.

“Sebelum ini pun tiada perpecahan, apa yang penting kita bersama dengan kepimpinan baharu ini menyusun dan pastikan parti terus kuat,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Bersatu, di sini, hari ini.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengumumkan senarai kepimpinan Bersatu baharu setelah selesai Pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi bagi penggal 2024-2027.

Dalam pemilihan MPT kali ini, Mohd Radzi dari Bahagian Putrajaya dan Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden, masing-masing memperoleh 11,690 undi dan 11,295 undi.

Manakala bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bahagian Tambun pula mendapat 9,278 undi.

Ketika ditanya mengenai tentang ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli kerana penguasaan kem pemimpin tertentu, Mohd Radzi bagaimanapun berkata, ia tidak menghalang pemilihan itu berjalan dengan lancar.

“Bagi kami apa yang penting adalah pemilihan ini telah berjalan dengan lancar dan teratur.

“Apa yang lebih penting adalah untuk kita lihat ke hadapan, kukuhkan parti, pastikan bahawa kita terus menjadi parti yang dekat di hati rakyat,” katanya.

Beliau turut berkata, meskipun tidak menafikan wujud tindakan keluar parti namun, kepimpinan baharu Bersatu akan melakukan yang terbaik untuk mengembalikan kekuatan parti.

“Insya-Allah kita mengambil maklum apa yang berlaku dan kita akan cuba sebaik mungkin untuk mengembalikan kekuatan kita sebelum pemilihan ini dan menambah kekuatan kita selepas pemilihan ini.

“Insya-Allah, kita akan ambil kira semua perkara dan akan pastikan parti terus kuat ke depan, itu paling penting,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast