Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

KUALA LUMPUR – Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat panas apabila Datuk Awang Hashim (PN-Penang) menyebut parti DAP bukan malaikat.

RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ‘panas telinga’ dengan ungkapan itu menegur kenyataan Awang yang dilihat menuduh secara membuta tuli.

“Saya minta beliau tarik balik kenyataan DAP bukan malaikat, kalau begitu bolehlah saya katakan Pas ini adalah parti ajaran sesat, saya tanya soalan,” kata Rayer di Dewan Rakyat.

Semuanya bermula apabila Awang yang berbahas RUU Perbekalan 2025 mempersoalkan siasatan terhadap bekas Menteri daripada DAP yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Begitu juga dengan kes RM94 juta yang mana didapati di sebuah menteri DAP dijumpai RM94 juta sampai sekarang kita tidak tahu setakat mana siasatan telah dibuat dalam Kementerian Sumber Manusia.

“Bila sebut sahaja pasal DAP, dia terus meletop (marah), dia (Rayer) ingat DAP ini malaikat yang suci,” katanya.

Berikutan itu, Rayer mencabar Awang untuk mengulangi kenyataan itu di luar dewan.

Jelas Rayer, ini adalah tuduhan tidak berasas dan fitnah semata-mata.

“Saya mohon penjelasan siapa ahli DAP berkenaan, kalau betul saya minta nyatakan di sini dan ulangai kenyataan itu di luar dewan, kalau tidak ada ini sudah keterlaluan,” kata Rayer.

Pertikaman lidah itu mendapat perhatian Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.

“Saya tidak mahu kacau bilau, saya akan tegas sekiranya saya nak usir sesiapa, saya akan buat,” katanya dengan tegas.

Awang kemudiannya menjelaskan bahawa kenyataan berkaitan RM94 juta yang dijumpai dalam kediaman bekas menteri DAP adalah daripada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Jelasnya, beliau membangkitkan perkara itu dengan niat untuk mengetahui perkembangan siasatan terhadap isu berkenaan.

“Saya nak tahu sebab sudah lama setahun lebih, menteri pun sudah ditukarkan. Bukan saya tuduh melulu,” kata Awang.

Ramli yang cuba meleraikan perbalahan itu menasihatkan agar Rayer mengemukakan Awang kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan lanjut.

Pada Jun 2023 lalu, Azam berkata SPRM di peringkat akhir menyelesaikan kertas siasatan berkaitan skandal rasuah isu pengambilan pekerja asing membabitkan pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Azam berkata, kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh dua minggu.

Pada 9 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak.

April lalu, SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

Susulan penahanan pegawainya ketika itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast