Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Cadangan untuk hadkan pembelian rumah oleh rakyat boleh menyebabkan industri perumahan negara runtuh yang sekali gus memberi impak terhadap 180 industri huluan serta hiliran di dalam ekosistem.

Ia juga pastinya akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara, kata Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Ho Hon Sang.

Tambahnya, sebagai sebuah pasaran bebas, cadangan untuk meletakkan had pembelian adalah bersifat merosakkan.

“Pembelian hartanah bukan hanya dibuat untuk tempat berlindung atau sebagai lindung nilai terhadap inflasi dan mengekalkan kekayaan sahaja. Ada pelbagai sebab untuk membeli hartanah.

“Ada yang membeli hartanah sebagai hadiah kepada ahli keluarga, contohnya ibu bapa membeli rumah untuk anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hon Sang, semua pihak perlu juga mengambil kira rakyat yang tidak mampu membeli rumah dan menyewanya daripada pemilik.

“Penyewa datang daripada pelbagai latar belakang- bukan semua (tidak membeli rumah) disebabkan masalah kewangan.

“Ada juga individu yang hidup seperti nomad, yang mana mereka terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain disebabkan pekerjaan dan ada juga yang tidak berminat untuk melabur kepada rumah dan memilih untuk melabur atau membelanjakan wang ke tempat lain.

“Bagi rakyat daripada golongan tersebut, menyewa adalah jawapannya,” katanya lagi.

Tambah beliau, menyekat pelaburan perumahan hanya menyebabkan pembinaan rumah berkurangan sedangkan populasi di negara ini semakin meningkat.

Ini menurutnya akan menyebabkan harga rumah, jumlah penyewa malah gelandangan boleh meningkat disebabkan permintaan melebihi bekalan.

“Daripada mengawal jumlah rumah yang boleh dibeli oleh seseorang individu bagi mengatasi masalah perumahan, kerajaan disarankan untuk menyediakan lebih baik insentif supaya lebih banyak rumah dapat dibina di lokasi yang tepat.

“Dalam pasaran yang mempunyai persaingan tinggi, harga rumah menjadi kompetitif bagi memberi manfaat kepada populasi secara keseluruhan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast