Radzuan (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Aplikasi Mobile Apps KPTM Pocket di Mydin Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) melancarkan aplikasi mudah alih KPTM Pocket yang bukan sahaja berfungsi untuk kemudahan maklumat dan permohonan pelajar tetapi juga langkah proaktif menangani kes buli di kampus.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Radzuan Razali berkata, aplikasi dilengkapi ciri aduan kes buli itu dibuat susulan isu buli di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kini menjadi perhatian sekali gus mahu memastikan ia tidak berlaku dalam kalangan pelajar KPTM.

“Ini memberi ruang kepada pelajar yang menjadi mangsa atau menyaksikan kes buli untuk melaporkan insiden tersebut terus kepada pihak pengurusan dengan pantas agar tindakan lanjut dapat diambil.

Radzuan.

“Sebelum ini kita ada sistem e-aduan melalui laman web namun dengan KPTM Pocket ia menawarkan kaedah yang lebih mudah dan sesuai dengan gaya hidup pelajar masa kini yang cenderung menggunakan telefon pintar untuk pelbagai urusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Aplikasi Mobile Apps KPTM Pocket di Mydin Bukit Mertajam hari ini.

Mengulas lanjut, Radzuan berkata, KPTM Pocket sebenarnya dibina untuk membantu proses permohonan pelajar baharu secara digital, memandangkan permintaan untuk belajar di KPTM dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) semakin meningkat.

“Menerusi KPTM Pocket, bakal pelajar boleh akses semua program pengajian yang ditawarkan dan peluang kerjaya yang secara tidak langsung membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan maklumat tersebut.

“Selain program sepenuh masa, KPTM Pocket juga turut memaparkan program Diploma Business Management dan Bachelor in Business Administration yang dilaksanakan secara Hibrid fokus kepada warga kerja,” katanya.

Untuk rekod, KPTM telah menghasilkan seramai 80,000 graduan sejak penubuhannya pada 2003. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast