PETALING JAYA – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara tiga nama yang memenangi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) 2024-2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, dua penyandang iaitu Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini.
“Radzi Jidin dari Bersatu Bahagian Putrajaya memperoleh 11,690 undi dan Ronald Kiandee dari Bersatu Bahagian Beluran pula sebanyak 11,295 undi
“Manakala Ahmad Faizal pula dari Bersatu Bahagian Tambun pula mendapat 9,278 undi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, di sini, hari ini.
Selain itu, JPP hari ini mengesahkan bahawa jawatan bagi Presiden dan Timbalan Presiden yang ditandingi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin dimenangi tanpa bertanding.
“Saya mengisytiharkan Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dari Bahagian Pagoh telah dipilih sebagai Presiden bagi penggal 2024-2027 secara menang tanpa bertanding.
“Saya juga mengisytiharkan Yang Berhormat Datuk Seri Hamzah Zainudin dari Bahagian Larut telah dipilih sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2024-2027 secara menang tanpa bertanding,” katanya.
Bekas Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Bersatiu Bahagian Machang pula memenangi jawatan ahli MPT bagi penggal 2024-2027.
Bekas Ketua Penerangan, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan dari Bersatiu Bahagian Bangi dan penyandang ahli MPT, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) turut dipilih dalam MPT penggal ini.
Turut menang sebagai ahli MPT ialah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Pasir Salak), Mohd Taufiq Yaacob (Baling), Mohd Hanifah Abu Baker (Rasah), Muhammad Affan Jumahat (Kudat), Datuk Dr Sahruddin Jamal (Pagoh), Mohd Yadzil Yaakub (Jasin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Ketereh), Dr Afif Bahardin (Shah Alam), Abu Bakar Hamzah (Kangar), Mohd Yazid Mohd Yunus (Paya Besar), Zulkifli Bujang (Johor Bharu), Yunus Nurdin (Libaran), Lim Ting Khai (Tawau), Datuk Asmawi harun (Bera) dan Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (Tanjong Malim).
Sementara itu, Abdul Azim berkata, sebanyak 95 dari 169 Bahagian Bersatu mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan dalam pemilihan parti kali ini.
“Manakala sebanyak 74 Bahagian Bersatu pula berjaya menjalankan persidangan, pemilihan dan pengundian peringkat MPT,” katanya.
“Sebanyak 61 peratus dari 29,717 perwakilan yang mengundi dan layak hadir dalam persidangan dan pemilihan bagi 2024-2027,” katanya.
Abdul Azim berkata, JPP menerima sebanyak 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan.
“Ada yang menghantar selepas tempoh tamat, JPP tidak mempertimbangkannya.
“Asas aduan dan bantahan adalah pelbagai, antaranya berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, keabsahan perwakilan, prosedur pengeluaran kertas undi dan prosedur pengiraan undi.
“JPP Pusat telah membuat keputusan sewajarnya mengikut bidang kuasa yang dimiliki oleh JPP, selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti,” katanya. – MalaysiaGazette