Hazlini mengemas barangan di rumah agar tidak musnah terkena banjir di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Menjelang Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula esok, hampir semua penduduk di daerah ini sudah melakukan persiapan menghadapi banjir.

Meskipun sudah ibarat rutin tahunan bagi warga Pantai Timur, langkah berjaga-jaga tetap diambil bagi mengelak kerugian harta benda dan nyawa akibat bencana alam itu.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Kampung Belukar dan Kampung Razali di sini ramai yang sudah mula mengalihkan barang kelengkapan di rumah ke aras lebih tinggi seperti menyediakan para khas di dalam rumah.

Salah seorang penduduk, Mariam Jusuh, 55, berkata, perkara pertama yang akan difikirkan menjelang MTL adalah mesin dan peralatan mengadun kuih miliknya.

Mariam Jusuh menunjukkan mesin mengadun kuih miliknya.

“Saya berniaga sejak 34 tahun lepas. Setiap tahun kita selamatkan barang kuih sebab nak dapat tu bukan senang. Itu pun minta bantuan. Sumber rezeki kami anak beranak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Mariam yang menetap di rumah tersebut bersama tiga anak dan seorang cucu memaklumkan mereka paling terkesan ketika kejadian banjir pada tahun 2013 di mana air naik sehingga ke paras dada dan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Bagi Hazlini Azhar, 48, pula mengharapkan tahun ini tidak berlaku banjir yang besar seperti 10 tahun lepas namun sudah bersiap sedia meletakkan barang-barang di rumahnya ke tempat lebih tinggi.

“Cuma tinggal pakaian harian sahaja seperti baju dan juga peti ais. Saya memang buat para tinggi sikit untuk letak barang. Selain itu, ada lapik kerusi jugak untuk bagi tinggi,” katanya.

Hazlini Azhar

Disebabkan rumahnya sudah biasa terkena banjir, dia yang berasal daripada Kemaman, Terengganu itu tidak lagi membeli perabot dan barangan elektrik.

Katanya, kerugian yang dihadapinya jika banjir berlaku kali ini hanyalah tilam yang mudah rosak apabila terkena air lumpur.

Sementara itu, sepasang suami isteri, Razali Muda, 49, dan Norsiza Mohd Nor, 43, sudah mempersiap para di dalam rumah untuk mengalihkan barang-barang yang ringan ke tempat tinggi.

“Selalunya air naik di bahagian dapur yang teruknya, paras lutut juga. Tahun ini pun sama, kita buat loteng dalam rumah, letak tilam atas almari dan sumbat barang-barang ringan atas tilam tu.

“Kita pun sudah bungkus dalam plastik seperti pakaian dan barang-barang ringan lain,” kata Norsiza.

Norsiza Mohd Nor

Dia memberitahu, rumah itu merupakan pusaka tinggalan keluarga suaminya dan terletak bersebelahan Sungai Belat.

Bercerita lanjut, Norsiza yang bekerja menjual kuih turut berkongsi pengalamannya membuat kuih dalam keadaan rumah dilanda banjir.

“Saya meniaga kuih ketayap dan onde-onde sejak dua tahun lalu dan pernah buat kuih semasa banjir. Sampaikan pacat atau lintah gigit saya. Saya menjerit panggil suami. Saya tak tahu, ingat binatang apa yang duduk main dekat jari kaki.

“Tapi nak tak nak kena buat juga walaupun air naik. Saya harapkan pendapatan melalui jualan kuih, suami kerja sendiri. Kerja sendiri pun tak menentu, kuih pun kadang habis, kadang tidak,” katanya lagi.

Razali Muda

Justeru, dia dan suami berharap agar tidak berlaku banjir buruk pada tahun ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam meramalkan MTL akan bermula pada 5 November dan berterusan sehingga Mac 2025 di mana jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk Pahang diminta siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast