BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), UTHM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dan OEW Tecnica PLT bakal menubuhkan Aerospace Technology Academy (AeroTA) iaitu sebuah pusat latihan yang khusus untuk menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional lanjutan (Advanced TVET) dalam bidang aeroangkasa dan kejuruteraan.
Bagi mencapai hasrat tersebut, satu sesi pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara tiga pihak telah diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk pada 18 Ogos lalu, disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis ringkas tersebut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad, Profesor Madya Dr. Mohd Lizam Mohd Diah mewakili UHSB dan Datuk Dr. Nazily Mohd Noor mewakili OEW Tecnica.
Penubuhan AeroTA akan memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, sejajar dengan keperluan industri moden.
AeroTA akan menggunakan pendekatan latihan berasaskan kompetensi, yang menggabungkan pengetahuan teori dengan latihan praktikal melalui kemudahan terkini dan projek-projek sebenar.
Kerjasama dengan rakan industri juga akan memastikan kurikulum yang disediakan selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan keperluan pasaran.
Kerjasama itu dipersetujui ketika OEW Tecnica PLT mengadakan lawatan dan perbincangan di UTHM yang telah diadakan pada 7 Mac 2024 lalu.
Hasil daripada perbincangan ketiga-tiga pihak, non-disclosure agreement (NDA) antara UTHM, UHSB dan OEW Tecnica PLT telah ditandatangani dan mula berkuatkuasa pada 19 Mac 2024 untuk tempoh dua tahun.
Sementara itu, UHSB komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan OEW Tecnica PLT, memandangkan banyak peluang sinergi dapat diterokai, khususnya dalam bidang latihan vokasional berteknologi tinggi.
“Kerjasama ini diharap akan membawa manfaat besar kepada industri dan pendidikan di Malaysia,” kata Dr. Mohd Lizam. -MalaysiaGazette