JAECOO, salah satu jenama automotif paling pantas berkembang di Malaysia, mendapat sambutan yang menggalakkan bagi kenderaan kegunaan lasak premium C9 Coupé yang dipamerkan buat julung kali kepada khalayak umum di 1 Utama dari 30 Oktober hingga 2 November lalu.
Dinobatkan sebagai SUV Coupé kegunaan lasak premium pertama JAECOO di Malaysia, pameran SUV C9 menarik lebih 5,000 pengunjung yang telah melihat dan memandu uji SUV segmen D ini buat kali pertama sebelum pelancaran rasminya pada bulan Disember.
“Kami amat gembira untuk menerima sambutan yang begitu positif terhadap SUV Coupé C9 daripada orang ramai. Strategi produk kami sentiasa disokong oleh penyelidikan pasaran, yang membolehkan kami menyediakan tawaran sesuai yang memenuhi keperluan pelanggan.
“Kami percaya SUV Coupé C9 memenuhi DNA jenama premium JAECOO dengan keupayaan menempuh jalan lasak yang menjadikannya sesuai bagi pemanduan bandar dan pengembaraan luar bandar,” kata Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek.
Kecemerlangan automotif premium yang merangsang pancaindera
Dalam usaha menyediakan pengalaman menyeluruh, pameran SUV Coupé C9 telah direka dengan matlamat merangsang pancaindera pengunjung. SUV Coupé ini ditempatkan di dalam sebuah kerangka berpilin untuk mencetus debaran dalam kalangan pengunjung, yang tidak sabar-sabar mahu melihat SUV tersebut buat kali pertama.
Daya tarikan visual SUV Coupé C9 disokong oleh persekitaran yang dicipta khas dengan gabungan haruman, tekstur dan cita rasa yang unik, membolehkan pengunjung menikmati pengalaman berbilang dimensi yang serba premium.
Berbicara tentang idea di sebalik pameran khas SUV Coupé C9, Lek berkata: “Kami didorong oleh azam kami untuk menawarkan tawaran produk terbaik kepada para pelanggan.
“Pada hakikatnya, pameran SUV Coupé C9 pada hari ini jelas membuktikan komitmen kami, dengan SUV Coupé kegunaan lasak premium keluaran JAECOO Malaysia dipersembahkan dalam suasana sungguh mengagumkan.
“Selain daripada memperkenalkan SUV menggagumkan, kami ingin membawakan pengalaman luar biasa bagi sesiapa yang bersemuka dengan jenama JAECOO. Pengunjung pasti tertarik hati dengan reka bentuk C9 yang menyerlah.”
Dari tempat duduk pemandu
Peluang untuk memandu uji C9 telah direbut oleh ramai pengunjung yang ingin mencuba sendiri keupayaan prestasi SUV Coupé ini dan keselesaan dalamannya. Pengunjung telah memandu versi enjin petrol empat silinder sebaris 2.0 TGDI C9 yang mampu menghasilkan 257 Hp dan tork 400Nm.
Satu ciri kelebihan yang membezakan SUV Coupé C9 daripada kereta setarafnya dalam SUV segmen D ialah sistem Kawalan Peredam Berterusan (CDC) yang mengira dan mengaktifkan ketegangan penyerap hentakan dalam masa beberapa milisaat berasaskan muatan dan tekanan beban pada kenderaan. Hasilnya ialah pengalaman pemanduan adaptif dengan tahap keselesaan lebih tinggi bagi pemandu dan semua penumpang.
Pendaftaran minat bagi C9 sudah dibuka dan sedang diterima bagi SUV Coupé C9 Pacuan Dua Roda (2WD) yang dianggarkan berharga MYR185,000 manakala C9 Pacuan Semua Roda (AWD) pada harga kira-kira rm195,000. JAECOO menjadualkan penyerahan model AWD menjelang Januari tahun depan, manakala model 2WD pula dijangka diserah mulai Mei/Jun 2025.
Kenderaan SUV Coupé C9 merupakan SUV kegunaan lasak premium kedua yang diperkenalkan oleh JAECOO selepas model sulungnya JAECOO J7 SUV dilancarkan pada bulan Julai. Susulan pameran di 1Utama, JAECOO juga bakal menganjurkan pengalaman memandu untuk khalayak umum menyaksikan prestasi SUV C9 menempuhi keadaan pemanduan dinamik di tempat letak kereta Plaza Arkadia CP3 pada 9 dan 10 November dari 9 pagi hingga 6 petang. – MalaysiaGazette