KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar kecewa dan tersinggung dengan dakwaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri DAP.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, kenyataan itu sebagai cubaan untuk mencemarkan nama baik beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.
“Tuduhan ini jelas tidak berasas dan serangan politik bersifat fitnah bertujuan untuk mencemarkan integriti dan maruah saya serta parti yang saya wakili.
“Tindakan SPRM dalam satu kenyataan menjernihkan situasi ini amat dihargai.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan wang RM94 juta tersebut yang dinyatakan (Ahli Parlimen) Pendang,” katanya dalam sidang media, di Parlimen, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kenyataan SPRM itu telah memperbetulkan persepsi negatif umum terhadap beliau.
“Pengesahan SPRM ini bukan sahaja membetulkan persepsi yang salah tetapi juga membersihkan nama saya yang telah menjadi sasaran pembangkang.
“Saya mencabar Pendang untuk mengulangi kenyataannya di luar Dewan Rakyat, jika benar beliau memilik bukti yang sah beliau seharusnya menyatakan tuduhan ini di luar dewan dan berani menyebut nama individu yang dimaksudkan,” kata Sivakumar.
Dalam pada itu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkata DAP akan mengemukakan usul bagi mengheret Awang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Kami berpendirian bahawa ini merupakan satu isu yang amat serius dan tidak boleh dibangkitkan sewenang-wenangnya di Dewan Rakyat.
“Ia dibuktikan sekarang bahawa tuduhan yang dibuat Pendang sememangnya tuduhan liar dan tidak berasas sama sekali,” katanya dalam sidang media sama, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta agar Awang insaf dengan kenyataan fitnah berkenaan.
“Kita minta Speaker (Tan Sri Johari Abdul) ambil tindakan keras terhadap pimpinan Pas atas kenyataan tersebut, ini jelas satu fitnah dan pembohongan.
“Kalau tidak Parlimen akan diheret ke kancah fitnah yang saya rasa tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada negara,” katanya.
RSN Rayer (PH-Jelutong) dalam sidang media sama berkata, beliau dan Sivakumar akan bersama-sama membawa usul berkenaan kepada Johari tidak lama lagi. – MalaysiaGazette