Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia.

KUALA LUMPUR – Skor Indeks Kesihatan Mental Belia di Malaysia pada tahun lepas adalah pada tahap sederhana iaitu 71.91, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia menunjukkan terdapat tekanan terutama yang berkaitan dengan domain persekitaran, sokongan sosial dan minda sihat yang jika tidak ditangani, boleh membawa kepada masalah kesihatan mental lebih serius dalam kalangan belia Malaysia.

Katanya, kerajaan amat prihatin terhadap soal tekanan dan anxiety yang mengakibatkan terdapat kejadian bunuh diri.

“Ini akibat daripada beberapa faktor luaran terutamanya berlaku buli siber dan juga soal terkait dengan teknologi dan gaya hidup,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) membuat penilaian berdasarkan tujuh domain iaitu gaya hidup, persekitaran, keperibadian individu, pengalaman hidup, sokongan sosial, pengendalian tekanan dan minda sihat, serta disokong oleh 28 indikator.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi 88.51 iaitu berada pada tahap memuaskan manakala skor terendah adalah domain persekitaran (65.45).

Ujarnya, mesyuarat itu bersetuju supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan 12 kementerian lain serta agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk melaksanakan intervensi kesihatan mental yang lebih berkesan khususnya bagi golongan belia.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan garis panduan bagi meneliti dan memberikan bantuan sokongan kepada individu, keluarga atau rakan sekeliling yang terkesan daripada kes membunuh diri atau cubaan bunuh diri terutamanya dalam kalangan belia.

“Kita mahu setiap kes ada follow up. Bukan sahaja untuk belia tersebut tetapi juga kawan-kawan mereka dan keluarga serta sistem sokongan mereka.

“Kalau kita tidak tangani dan wujudkan satu garis panduan untuk follow up, kes yang lain mungkin akan berlaku daripada sistem sokongan tersebut,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat berkenaan turut bersetuju RM25 juta diperuntukkan untuk memperkasa Program Rakan Muda yang memberi tumpuan kepada akar umbi serta kolaborasi dengan kerajaan negeri dan NGO untuk memperluas akses kepada semua lapisan masyarakat.

Mengenai Program Advokasi Keselamatan Siber CyberSAFE, katanya, pelaksanaan 35 program oleh Kementerian Digital dan agensi relevan akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan keselamatan siber khusus kepada belia.

Pelan Transisi Belia 2024-2025 pula akan dikembangkan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai panduan kepada pertubuhan belia dalam kepimpinan dan keahlian yang matang.

Beliau turut mengumumkan presiden dan setiausaha agung MBM akan menjadi ahli tetap jawatankuasa berkenaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast