Tan Sri Khamil Jamil dilantik sebagai Pengerusi UiTM

KUALA LUMPUR- Tokoh korporat Tan Sri Mohd Khamil Jamil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa hari ini hingga 3 November 2027.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya berkata, ia yakin pelantikan Khamil dapat meningkatkan tadbir urus profesional UiTM menerusi perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor berkepentingan.

Ia juga mampu memperkukuhkan lagi daya saing UiTM sebagai sebuah universiti komprehensif di Malaysia.

“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Khamil yang berkelulusan dalam bidang undang- undang dari University of London memiliki pengalaman luas dalam dunia korporat dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad selama sepuluh tahun dari tahun 2006.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif DRB-HICOM Berhad, Pos Malaysia Berhad dan Proton Holdings Berhad sepanjang tempoh 2016 hingga 2018.

Khamil juga bukanlah figura baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara.

Semasa berkhidmat di DRBHICOM Berhad, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pro-Canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia. Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari tahun 2013 hingga 2014 dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari tahun 2014 hingga 2016. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast