Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius isu penggunaan rokok elektronik (vape) dan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah yang memberi kesan kepada kesihatan mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, beberapa garis panduan dikeluarkan bagi menangani isu merokok dalam kalangan murid dan larangan penggunaan vape.

“KPM telah mengeluarkan beberapa garis panduan bagi menangani isu merokok dalam kalangan murid serta pewartaan sekolah sebagai kawasan larangan merokok.

“Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 1997 melarang murid menghisap rokok, manakala Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5 Tahun 1997 mewartakan sekolah sebagai kawasan larangan merokok.

“Selain itu, KPM mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 6 Tahun 2000 mengenai masalah keselamatan, dadah, dan gengster, dengan tindakan termasuk penubuhan peti aduan dan pengukuhan Jawatankuasa Disiplin Sekolah dan Asrama.

“Murid yang melakukan salah laku seperti merokok atau menghisap vape akan direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) untuk tindakan intervensi oleh guru bimbingan dan kaunseling.

“KPM juga mengeluarkan Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan rokok elektronik atau vape di sekolah, dengan tatacara hukuman yang jelas.

“KPM sentiasa mengingatkan jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, dan sekolah untuk mematuhi pekeliling dan surat siaran yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad (Perikatan Nasional) mengenai usaha KPM dalam menangani masalah ketagihan vape dan rokok yang pastinya memberi kesan negatif kepada kesihatan pelajar-pelajar.

Tambah Wong, KPM turut melaksanakan pendedahan pengetahuan terhadap bahaya rokok menerusi Pendidikan Pencegahan Dadah (PDDa) dalam kurikulum, kokurikulum dan program pembangunan sahsiah murid.

“KPM terus komited dengan melaksanakan program dan aktiviti pendidikan pencegahan seperti Program Skim Lencana Antidadah, Program Lima Minit Antirokok dan Vape. KPM turut melaksanakan Program Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape bagi mengekang trend murid yang menjadikan tabiat menghisap rokok dan vape sebagai satu kebiasaan.

“Tujuan aktiviti ini adalah menerapkan nilai kesedaran murid akan bahaya rokok dan vape serta membentuk jati diri yang unggul. Murid-murid juga dilatih sebagai duta sahsiah untuk membantu guru dalam menyampaikan maklumat serta menjadi pembimbing rakan sebaya agar rakan-rakan tidak terlibat dengan gejala negative,” tambahnya.

Menurut beliau, dalam masa yang sama KPM juga bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam melaksanakan Program Remaja Unggul Aspirasi Negara.

“Yang berfokus kepada bahaya rokok dan vape juga telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama rakan strategik iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Membasmi Dadah Malaysia,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye menggesa kerajaan menangani isu vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah dengan kadar segera.

Jelasnya, adalah penting untuk pihak sekolah di seluruh negara mengambil inisiatif untuk memerangi vape melalui kempen kesedaran dan tindakan tegas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast