Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beramah mesra bersama para hadirin yang hadir pada Sesi Townhall Bersama Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia, Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 05 NOVEMBER 2024

KAJANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi penjelasan lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu hukuman tahanan di rumah pada Khamis ini di Dewan Rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjelasan itu akan diberi semasa penggulungan peringkat dasar KDN.

Beliau berkata, perkara penting itu perlu diberikan pencerahan dan platform terbaik adalah ketika KDN mendapat peluang membuat penggulungan di peringkat dasar.

“Saya mengikuti sepenuhnya reaksi ramai pihak setelah tajuk tahanan di rumah dimasukkan dalam teks Belanjawan oleh Perdana Menteri.

“Ia mengundang pelbagai pandangan maka saya akan menelitinya satu persatu dan memilih untuk melakukannya pada ketika sesi penggulungan peringkat dasar KDN yang dijadualkan pada Khamis ini.

“Saya akan menjelaskannya secara terperinci apakah rasionalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Town Hall Menteri Dalam Negeri bertajuk ‘Mengurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Melalui Pengambilan Prospek Yang Menjalani Pemulihan Dalam Komuniti’ di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, setelah keputusan dasar dibuat, KDN adalah melakukan banyak sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh.

Selepas itu jelas beliau, pihaknya akan menggubal satu draf RUU yang namanya Akta Tahanan Rumah dan undang-undang tahanan rumah serta prosesnya.

Katanya, beberapa perkara perlu perhalusi seperti proses program, parameter dan berapa ramai yang patut dipertimbangkan mengikuti program itu.

“Jabatan Penjara dan KDN sudah siap dengan semua data yang diperlukan.

“Saya percaya, semua itu pada akhirnya akan memberi penjelasan yang mampu menjernihkan beberapa pandangan daripada pihak tertentu tentang cadangan tahanan di rumah.

“Yang mana terkadang saya tengok perkara ini hanya tertumpu kepada seorang individu sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, terdapat kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu akan dipertimbangkan untuk program berkenaan.

Namun begitu menurutnya, ia tidak bermakna kesemua yang memohon itu akan diberikan tahanan rumah secara serentak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here