Tangkap layar menunjukkan suspek menunggang motosikal melakukan kegiatan samun di sebuah kedai runcit di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

TASEK GELUGOR – Polis sedang memburu suspek bersenjatakan parang yang melakukan samun di sebuah kedai runcit di Jalan Pokok Machang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai yang memaklumkan pekerjanya warga Pakistan disamun kira-kira jam 9.10 malam.

“Suspek dikatakan datang seorang diri dengan menunggang sebuah motosikal sebelum masuk ke dalam kedai runcit itu dan mengacukan parang ke arah mangsa.

“Mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum suspek melarikan wang jualan kedai yang dianggarkan berjumlah RM2,500.

“Susulan itu, pihak polis ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Anuar, hasil semakan CCTV mendapati wajah suspek sukar dikenal pasti kerana memakai topi keledar selain memakai penutup muka berwarna gelap.

“Sehubungan itu kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Ikram Zulkifli di talian 04 576 2222 (samb: 2275) atau mana-mana balai polis terdekat.

“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast