Sebahagian dadah yang dirampas.

MELAKA – Polis Melaka menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini yang didalangi tiga lelaki tempatan, Jumaat lalu.

Dalam dua serbuan berasingan pada pukul 3 pagi itu, suspek tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 37 tahun ditahan dalam sebuah kondominium di Melaka Raya dan bangunan di Jalan Merdeka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka turut merampas pelbagai dadah lebih 12 kilogram bernilai RM2.28 juta.

“Antara dadah dirampas adalah serbuk ekstasi seberat 12,920gram (g), ketamin 300g, selain pil ekstasi sebanyak 1,307 biji dan erimin lima 280 biji.

“Turut disita dua buah kenderaan serta wang tunai berjumlah RM6,400 menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM2.34juta,” katanya dalam satu kenyataa,n di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan polis mendapati kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 68,240 penagih.

“Kita percaya, sindiket ini mula aktif sejak awal tahun ini dan ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah ketamin dan benzo.

“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast