Mangsa ditemui maut akibat terkena renjatan elektrik ketika cas telefon bimbit pada soket sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Butterworth.

PULAU PINANG – Bas ekspres yang berlaku kejadian renjatan elektrik sehingga menyebabkan kematian seorang remaja merupakan kenderaan baharu yang hanya digunakan selama tiga bulan.

Jurucakap syarikat bas tersebut memberitahu China Press, bas itu hanya mula digunakan pada akhir Ogos.

Katanya, syarikat membeli bas secara terus daripada kilang dan kenderaan itu juga melepasi pemeriksaan pihak berkuasa sebelum beroperasi di jalan.

“Saya ingin menegaskan bahawa selepas membeli daripada pengilang, kami tidak melakukan sebarang pemasangan yang melanggar undang-undang. Semua setting adalah seperti keadaan asal di kilang,” katanya.

Menurutnya, bas itu sedang membawa 23 penumpang semasa berlaku kejadian renjatan elektrik.

Ujarnya, pihak syarikat tidak mengetahui jumlah penumpang yang sedang mengecas telefon, tetapi pemandu bas memang sedang berbuat demikian.

“Jika terdapat masalah pendawaian bas, maka telefon pemandu juga sepatutnya berdepan keadaan seumpama, tetapi ini tidak berlaku,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati tiada masalah dengan pendawaian bas dan tiada kesan bakaran pada soket di tempat duduk.

“Bomba juga menyemak peti bateri bas dan tidak menemui apa-apa masalah,” katanya.

Ujarnya, pihak syarikat menggunakan pelbagai jenama bas dan bas yang terlibat dalam kejadian renjatan elektrik merupakan satu jenama baharu di pasaran.

Katanya, jenama bas itu menyasarkan pasaran atasan dan bas yang dikeluarkan boleh dikategorikan sebagai bas mewah.

“Bas ini dilengkapi dengan kemudahan seperti soket dan skrin, malahan ada kemudahan karaoke.

“Kami menggunakan bas ini dengan fokus kepada laluan Pantai Timur, tetapi syarikat juga ada menyediakan laluan lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast