PONTIAN – Bomba mengesan kebocoran gas amonia di kilang pertama Spring Rolls Manufacturer (M) Sdn. Bhd., di sini, setelah menerima panggilan kecemasan petang semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hasnan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 2.03 petang.
Susulan itu katanya, seramai 19 anggota dari BBP Pontian Baru dan BBP Larkin melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Beliau memberitahu, turut membantu masing-masing sebuah jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dan pacuan empat roda Triton.
“Pengungsian pekerja seramai 107 orang dibuat sebelum kerja-kerja pemindahan baki 100 liter gas amonia dari tangki yang bocor dijalankan.
“Insiden berlaku disebabkan kebocoran paip gas amonia yang dianggarkan melepaskan sebanyak 50 liter gas amonia.
“Ammonia mudah terbakar. Jika ditelan, ammonia boleh menghakis dan menyebabkan cirit-birit dan pening. Wap ammonia sangat merangsangkan dan boleh menghakis.
“Larutan padat ammonia boleh menyebabkan kerosakan mata dan kulit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Katanya, keselamatan di kawasan tersebut dijamin dengan tindakan segera pihak bomba yang melakukan pemindahan gas ke tangki bersebelahan serta pengosongan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurutnya, ini dibantu pasukan Hazmat dari BBP Larkin tiba kemudian di lokasi pukul 8 malam sebelum segera menjalankan pemeriksaan kebocoran pada aras bawah dan aras satu bangunan menggunakan alat pengesan GFG dan Gasmet.
“Bacaan kepekatan gas amonia menunjukkan 0.45 PPM, yang berada pada tahap terkawal dan selamat. Kapasiti tangki keseluruhan berjumlah 500 liter.
“Apabila sistem mengesan berlakunya kebocoran, sistem bertindak secara automatik dengan mengepam keseluruhan ammonia ke dalam dua tangki simpanan sedia ada.
“Baki 100 liter kena guna cara manual bagi kerja-kerja pemindahan bahan disebabkan adanya kebocoran,” tambah beliau.
Pasukan Hazmat katanya, turut melakukan kerja-kerja mengukur bacaan ammonia di lokasi semasa kerja-kerja pemindahan tersebut dijalankan.
Pihak kilang pula katanya, bersama-sama kontraktor yang dilantik kini bertanggungjawab untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan proses nyah cemar di kawasan terjejas.
Jelasnya, insiden itu berjaya dikawal sepenuhnya tanpa melibatkan sebarang mangsa.- MalaysiaGazette