PASIR GUDANG – Nyawa seorang lelaki warga asing nyaris melayang apabila kereta dipandunya terselamat daripada bertembung sebuah lori yang melawan arus di Kilometer 14 Lebuhraya Pasir Gudang di sini kelmarin.
Kejadian tersebut mengakibatkan kereta Honda Civic dipandu lelaki berkenaan terbalik di tengah jalan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan kereta itu dengan sebuah lori sebelum melakukan siasatan.
“Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi kelmarin ketika kereta dipandu lelaki warga Indonesia berusia 18 tahun melalui lokasi kejadian.
“Kereta dipandu di lorong kanan dan tiba-tiba dikejutkan dengan sebuah lori yang nombor pendaftarannya tidak pasti memandu secara melawan arus di lorong kanan itu.
“Pemandu kereta cuba untuk mengelak lori terbabit, namun hilang kawalan dan terbabas ke bahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta cedera di bahagian dahi, tangan kanan dan luka di bahagian kaki kanan.
Katanya, mangsa telah menerima rawatan luar di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Sohaimi memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Zeyrul Mohd Redzwan 019-532 4272.
Terdahulu video berdurasi sembilan saat memaparkan kejadian tersebut tular dalam media sosial dan meminta orang ramai yang mendapatkan nombor pendaftarannya. – MalaysiaGazette