Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh bersama ahli keluarganya.

SHAH ALAM – “Kami komited menjalankan tugas sebagai pasukan pengaman di Lubnan,” ikrar Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh.

Beliau yang sudah dua kali menyertai misi itu berkata, persedian mental dan fizikal antara keperluan penting dalam Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12, selain membawa nama baik Malaysia.

MALBATT 850-12 yang bernaung di bawah Misi Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Lubnan (UNIFIL) menghantar seramai 854 pegawai dan anggota hari ini yang akan memulakan misi tersebut.

“Jika ditanya tentang perasaan, kami anggota tentera telah dilatih tugas kami adalah untuk berperang dan melaksanakan penugasan PBB jadi tiada masalah untuk diatur gerakkan di mana-mana.

“Berdasarkan kepada latihan, setiap kali kami berada dalam barisan, saya kerap kali tekankan supaya betulkan niat, perkuatkan mental dan fizikal. Jadi, kami bersedia tidak ada masalah dari segi fizikal, mental dan moral.

“Kami membawa nama baik Malaysia yang mana sekarang Lubnan berada di dalam krisis kemanusiaan dan buat masa sekarang keadaan di sana agak tegang dan kami mengharapkan situasi akan reda bagi  membolehkan kami melaksanakan mandat dan amanah diberikan oleh UNIFIL,” katanya pada pemberita hari ini.

Suasana semasa majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Penghantaran Kumpulan Pertama Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 United Nations di Lebanon, di Pangkalan Udara Subang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Sementara itu, isterinya Haslinda Rahim, 48, yang ditemui reda dengan tanggungjawab dan amanah yang dipikul suaminya yang demi nusa dan negara.

Pada masa sama, Haslinda juga berbangga kerana suaminya telah diberi kepercayaan sekali lagi lagi bagi menyertai misi itu dan menjadi komander kepada kepada 854 pegawai serta anggota.

“Saya agak risau dengan keadaan yang berlaku di sana sekarang tapi saya berbesar hati  bila namanya sekali lagi terpilih untuk kesana.

“Reaksi pada mula-mula dengar memang berbelah bahagi, tetapi saya perlu tahu berkongsi suami dengan negara, jadi saya reda dan rela untuk dia bertugas di mana sahaja.

“Saya doakan keselamatan mereka, selamat pergi dan balik, pergi dengan jumlah itu (854 orang) balik pun dengan jumlah yang sama,” luahnya dalam nada sebak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast