Prof Ts Dr Massila Kamalrudin

MELAKA – Seramai 3,459 orang graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 November ini.

Majlis tersebut akan diadakan bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, pada tahun ini, jumlah keseluruhan graduan UTeM adalah paling ramai dalam sejarah begitu juga graduan Ijazah Doktor Falsafah.

Daripada jumlah tersebut, graduan Ijazah Doktor Falsafah adalah seramai 120 orang, Ijazah Sarjana seramai 159 orang, Ijazah Sarjana Muda seramai 2,683 orang dan diploma pula 497 orang.

Peningkatan itu turut melonjakkan angka peratusan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UTeM kepada 70.3 peratus (2,236 orang) meningkat berbanding tahun lalu sebanyak 68 peratus.

“Menariknya lagi pada tahun ini UTeM turut memperkenalkan anugerah terbaharu iaitu Anugerah TEJA yang bakal dianugerahkan kepada graduan ikon mahasiswi yang telah mengharumkan nama universiti dalam pelbagai aspek seperti pembangunan akademik dan kerjaya, kepimpinan, etika dan kerohanian, sukarelawan dan khidmat komuniti, kebudayaan dan identiti nasional, sukan dan rekreasi serta teknikal dan inovasi.

“Anugerah TEJA merupakan kesinambungan Anugerah TUAH yang telah diberikan kepada ikon graduan dalam kalangan mahasiswa pada siri majlis konvokesyen UTeM sebelum-sebelum ini,” ujarnya dalam kenyataan.

Massila berkata, Anugerah TEJA itu merupakan salah satu daripada anugerah utama yang diberikan UTeM di samping Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Khas Huffaz Profesional dan Anugerah TUAH.
“Seramai 78 orang graduan akan menerima anugerah-anugerah utama berkenaan yang akan disampaikan sewaktu sesi pertama pada hari pertama majlis konvoksesyen nanti,” katanya lagi.

Menyentuh tentang Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Industri, uniknya UTeM telah mendapat tajaan khas daripada beberapa pihak industri untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang pilihan industri.

Antara anugerah terbaharu bagi Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Industri adalah dari UMW manakala selainnya seperti sebelum ini daripada industri seperti Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd., Xinyi Glass Holdings, Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd., STMicroelectronics Sdn. Bhd., Johnson Controls dan Onsemi.

Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 akan diadakan menerusi 6 sesi selama tiga hari berturut-turut dan turut diserikan dengan Pesta Konvo UTeM yang diadakan bermula dari 8 hingga 11 November nanti.

Pesta Konvo UTeM diadakan bertempat di Tapak Pesta Konvo berdekatan dengan Dewan Canselor yang bermula seawal jam 8 pagi hingga 11 malam dan orang ramai adalah dijemput bagi memeriahkannya dengan pelbagai aktiviti dan program menarik bakal disajikan kepada para pengunjung dan masuk adalah percuma. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here