PUTRAJAYA – Proses merekod keterangan pasangan pengasas perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bagi membantu siasatan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM43.9 juta disambung semula hari ini..
Pasangan itu hadir di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada jam 12.54 tengah hari dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
Pengamal media yang menantikan kehadirannya sejak 10 pagi menghampiri kenderaan pasangan itu yang berhenti di pondok pengawal keselamatan ibu pejabat SPRM itu.
Kenderaan itu kemudian memasuki kawasan SPRM.
Semalam pasangan terbabit memberi keterangan antara jam 2.30 petang hingga jam 10.40 malam.
Setakat semalam, seramai empat saksi dari PNB, Khazanah dan Kementerian Kewangan telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terbabit.
Sebelum ini, suruhanjaya itu menyerbu pejabat FashionValet dan tiga premis lain yang membawa kepada rampasan pelbagai dokumen untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM. – MalaysiaGazette