Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh pelajar lelaki Tingkatan Lima Disember tahun lalu dibawa pada hari kedua prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 NOVEMBER 2024.

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh, pada Rabu memainkan lima rakaman video rakaman membabitkan kejadian menerusi perbicaraan hari kedua kes bunuh melibatkan seorang pegawai kanan polis terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima, tahun lalu.

Video kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka itu dimainkan ketika saksi pendakwaan ketiga Pegawai Siasatan Forensik Makmal, Asisten Superintenden Nur Fairuz Idris dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.

Kesemua video yang dipercayai daripada sudut berbeza itu memaparkan kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah kereta berwarna putih dan sebuah motosikal pada Disember tahun lalu.

Nur Fairuz dalam sesi pemeriksaan balas terhadap peguam yang mewakili tertuduh Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak, M Athimulan berkata, kesemua rakaman berkenaan diperoleh daripada pegawai penyiasat kes.

Saksi pendakwaan itu memberitahu mahkamah, beliau telah ditugaskan untuk menganalisa, melakukan ‘capture image’ melalui kaedah digital dan pengeluaran semua data video terhadap kelima-lima video kejadian itu untuk siasatan polis.

Beliau yang juga Juruanalisis Siasatan Audio Video Makmal Forensik PDRM berkata, dia menerima permohonan bagi menjalankan analisis, penjelasan rakaman video serta pengeluaran semua data video.

Menurutnya, hasil daripada proses itu beliau dapat mengenal pasti kenderaan terbabit adalah jenis kereta Perodua Ativa berwarna putih dan motosikal Yamaha LC.

Pegawai polis didakwa bunuh pelajar Rakaman video kemalangan cctv mahkamah kemalangan kejadian
Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh pelajar lelaki Tingkatan Lima Disember tahun lalu dibawa pada hari kedua prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 NOVEMBER 2024.

Nur Fairuz menambah, beliau telah menerima satu unit cakera padat, dua unit cakera video digital serta dua unit kad memori yang mengandungi video kejadian.

Ketika sesi pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bertanyakan sama ada Nur Fairuz ada melakukan verifikasi atau pemeriksaan lanjut dengan sumber asal tiga video CCTV kejadian berkenaan bagi pengesahan ketulenan rakaman.

Nur Fairuz berkata, pihaknya tidak dapat melakukan hal demikian kerana tiada rampasan dilakukan terhadap dekoder yang mana menjadi sumber asal rakaman berkenaan.

“Saya ada tanya pada pegawai penyiasat tentang dekoder asal, tetapi diberitahu dia tidak dapat buat rampasan untuk dekoder, dan sebab itu diserahkan cakera padat yang mengandungi rakaman (CCTV) tersebut,” katanya.

Pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet itu, empat keping gambar mayat mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie ketika berada di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) turut dikemukakan.

Gambar itu ditunjukkan ketika saksi pendakwaan kelima, Koperal Shahiran Mohamad daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dipanggil memberi keterangan.

Shahiran memberitahu mahkamah, selain gambar mangsa, dia juga diarahkan untuk mengambil gambar di sekitar lokasi kejadian serta gambar dua kenderaan yang terlibat iaitu kereta Perodua Ativa dan motosikal Yamaha LC.

“Di tempat kejadian, saya telah ambil 19 keping gambar di mana gambar-gambar tersebut menunjukkan papan tanda jalan di lokasi, pandangan arah laluan kedua-dua kenderaan dari jarak jauh, arah pandangan di mana pelanggaran berlaku dan serpihan papan nombor pendaftaran motosikal yang terlibat dalam kemalangan.

“Saya juga telah mengambil lapan keping gambar motosikal terlibat di lokasi kejadian selain empat keping gambar kereta terbabit kemalangan di pekarangan IPD Ipoh,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis.

Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh dan mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari sehingga 17 Januari tahun depan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Perbicaraan kes disambung pada Khamis. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast