Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu berkaitan rapat dengan GlSB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) perlu mengikut ketetapan hukum daripada segi akidah sebelum mereka yang ditahan didakwa mengikut lunas undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menjelaskan ketetapan hukum yang telah ditetapkan beberapa negeri termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan dijadikan rujukan sebelum pendakwaan dibuat.

“Selain daripada itu, bukti itu perlu dipastikan kesahihan dan kekuatan daripada segi bukti  itu sendiri. Jadi daripada aspek ini, kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya pendakwaan syarie untuk meneliti perkara ini dengan lebih baik,” jawabnya di Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli menjawab pertanyaan lisan tambah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu mengapa mereka yang berkaitan dengan GISBH tidak didakwa atas tuduhan masih mengamalkan Aurad Muhamadiah yang telah difatwakan sesat.

Pada 23 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 individu lain akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Selain beliau, turut dituduh mengikut seksyen sama adalah isterinya, Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sebanyak tujuh modul silibus telah dikenal pasti dan dibangunkan untuk digunapakai bagi pemulihan akidah kanak-kanak GISBH yang diselamatkan pihak berkuasa baru-baru ini.

Modul silibus itu telah diputuskan oleh jawatankuasa khas yang dibentuk awal bulan lalu.

Antara modul silibus itu termasuk akidah dewasa, akidah kanak-kanak, rohani dan jati diri, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan Myinsaniah dan psikospiritual.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast