Peserta bengkel (dari kiri) Halimah Dahari, 75, Harisun Abu Bakar, 75, dan Norain Harun, 85, menunjukkan bahan utama untuk membuat kimchi pada Program Kembara Komuniti bersama PITKM di Dewan Orang Ramai Kampung Padang, Behrang, Perak semalam.

BEHRANG – Golongan ibu tunggal di luar bandar berupaya meningkatkan pendapatan keluarga serta menaikkan taraf hidup lebih baik melalui penghasilan yogurt dan kimchi buatan Malaysia yang sihat dan bernutrisi untuk pasaran setempat.

Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri, Bioeconomy Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation), Nora Mohamed berkata, penghasilan yogurt dan kimchi berpotensi dikembangkan sebagai perniagaan kerana makanan itu mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebagai permulaan, Bioeconomy Corporation melalui Program Kembara Komuniti bersama Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) mengumpulkan seramai 35 ibu tunggal yang diberi tunjuk ajar cara menghasilkan dua produk makanan berasal dari luar negara itu.

“Usaha pemberdayaan ibu tunggal dilaksanakan melalui pembelajaran sains yang memfokuskan teknologi penapaian dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penghasilan makanan khususnya pembuatan yogurt dan kimchi.

“Peserta juga diberi pendedahan keusahawanan bagi membolehkan mereka mencipta peluang pendapatan yang mampan,” katanya ketika meninjau program sehari itu di Dewan Orang Ramai Kampung Padang di sini semalam.

Pengerusi Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Juliana Sarip (tengah) bersama Nora (kiri) dan Pengerusi PITKM Tanjong Malim, Suzita Mohammed berucap di hadapan 35 ibu tunggal yang menghadiri Program Kembara Komuniti bersama PITKM di Dewan Orang Ramai Kampung Padang, Behrang semalam.

Program Kembara Komuniti Bersama PITKM turut disertai syarikat berstatus BioNexus, Bio Tree Biotechnology Sdn Bhd selaku penyedia latihan dan Alpro Pharmacy yang mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Peserta diajar mempraktikkan kaedah terbaik menghasilkan yogurt dan kimchi sebagai usaha niaga berskala kecil tanpa mengabaikan nilai pemakanan dan kesihatan.

Nora berkata, program seumpama itu boleh membantu golongan ibu tunggal menghadapi cabaran yang biasa dihadapi dalam keusahawanan seperti had akses latihan dan sumber serta kurang pengetahuan dalam kaedah pengendalian, amalan kebersihan dan keselamatan makanan.

Selain itu, katanya, ia mewujudkan jaringan antara peserta yang sedang meneroka peluang pasaran dan pemain industri yang memupuk hubungan komuniti dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

“Kami bercadang memperluaskan program ini ke kawasan lain yang menghadapi cabaran sosioekonomi serupa. Kami juga akan meneroka kerjasama dengan lebih banyak syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator untuk meningkatkan ketersediaan sumber dan sokongan kepada peserta,” katanya.

Bengkel sehari itu memfokuskan penggunaan bahan segar dan semula jadi seperti sayur-sayuran dan enzim rempah tempatan bagi menjaga keaslian kimchi buatan Malaysia.

Antara bahan utama yang digunakan dalam penghasilan yogurt dan kimchi adalah minuman campuran botani Winheartz Golden Mix, cuka beras perang dan cuka Balsamico yang mana penggunaan bahan ini membantu kefahaman peserta terhadap kepentingan meningkatkan nilai nutrisi dan kualiti produk.

Program Kembara Komuniti bersama PITKM ini selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan aspirasi Kementerian Sains dan Teknologi yang mempromosikan pembelajaran berasaskan sains, meningkatkan penerimaan teknologi dalam komuniti serta memupuk inovasi melalui inisiatif keusahawanan.

Pendekatan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi” tercermin dalam reka bentuk dan strategi pelaksanaan program berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast