Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina dan Akupunktur Malaysia

KUALA LUMPUR –  Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina dan Akupunktur Malaysia akan memperjuang pengiktirafan sijil cuti sakit yang dikeluarkan oleh tabib tradisional.

Presidennya, Ng Po Kok berkata, pengiktirafan oleh kerajaan juga akan membantu usaha memperjuangkan perlindungan insurans untuk pesakit yang menerima rawatan perubatan tradisional Cina.

“Pada masa ini, sijil cuti sakit yang dikeluarkan tabib adalah tidak diiktiraf dan hanya sijil cuti sakit oleh doktor perubatan moden diperakui,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan peringkat ketiga pada tahun depan untuk Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016.

Kata Po Kok, undang-undang itu meletakkan perubatan tradisional Cina sebagai satu bidang yang profesional, tetapi ia juga mewujudkan pelbagai kekangan.

“Tabib Cina perlu mengikuti pelbagai peraturan termasuk dari segi pengiklanan. Iklan tidak boleh dipamerkan untuk rawatan 20 jenis penyakit termasuk kanser, strok, masalah kesuburan dan lumpuh,” katanya.

Menurutnya, undang-undang juga menghalang pusat rawatan tradisional menggunakan perkataan seperti klinik dan pakar, tetapi yang boleh digunakan adalah pusat rawatan tradisional dan komplementari.

“Seseorang tabib berdaftar perlu mengikuti semua peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Po Kok berkata, pemerhatian mendapati ada tabib yang melanggar peraturan dengan mengiklankan rawatan resdung, masalah kesuburan dan bahu beku di media sosial atau di luar kedai.

Ujarnya, sebelum ini ramai tabib mendapat ilmu dengan cara “belajar sendiri” atau menggunakan cara rawatan turun-temurun.

“Kerajaan memberi masa tiga tahun enam bulan untuk pendaftaran tabib dan masa ini sebenarnya sangat mencukupi.

“Selepas mendaftar dan mendapat lesen, ia boleh diperbaharui setiap tahun jika seseorang tabib tidak melanggar peraturan,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast