MELAKA – Seorang warga emas yang juga pesakit jantung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan rakannya hingga parah hujung bulan lalu.

Tertuduh, K Govindaraju, 68, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas rakannya, V. Govinda Rajoo, 62.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pondok berhampiran alamat di Jalan Bertam Jaya 8, Taman Bertam Jaya, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10.30 pagi, 26 Oktober lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib dalam prosidingnya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh.

Peguam Nigel Tai bagaimanapun dalam rayuannya memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya tidak bekerja dan bergantung harap kepada  anak-anaknya.

Tertuduh juga menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis dan baru keluar wad selepas menerima rawatan akibat serangan jantung.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan daripada kedua-dua pihak, Majistret Nor Syaliati membenarkan tertuduh diikat jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast