Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berucap pada majlis perasmian Auto Forum 2024 di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

PUTRAJAYA –  Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) buat pertama kali akan menyediakan pembiayaan perniagaan merangkumi baik pulih dan penyelenggaran kenderaan elektrik (EV) bermula tahun depan.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah proaktif itu bagi memperkasakan usahawan Bumiputera dalam sektor automotif yang sedang mengalami transfromasi agresif dengan lonjakan permintaan terhadap EV.

“PUNB akan menyediakan pakej untuk usawahan yang meneroka bidang EV ini kerana kita perlu mengikut arus pekembangan semasa.

“Kita sedar industri automotif ini sangat berdaya maju dan penyertaan bumiputera semakin meningkat dalam sektor ini.

“Sesuai dengan mandat PUNB tentu sekali kita akan memastikan pembiayaan yang mencukupi untuk sektor ini, berapa jumlahnya bergantung kepada bilangan pemohon,” katanya kepada media.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, merasmikan Auto Forum 2024 di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Acryl Sani ditemui selepas merasmikan Auto Forum 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB Fauzi Zakaria dan Presiden Autopro Abdul Muner Hanafiah.

Auto Forum 2024 disertai lebih 500 pemain industri automotif untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan dan peluang dalam sektor itu di Malaysia.

Katanya, PUNB menyediakan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk tahun depan bagi menyokong usahawan Bumiputera dalam pelbagai sektor.

Lebih 300 bengkel yang menjadi ahli Persatuan Usahawan Automotif PROSPER Malaysia (AUTOPRO) akan mendapat manfaat pembiayaan perniagaan berkaitan EV.

Badan itu telah menganjurkan latihan berkaitan EV sejak tahun 2019 melalui bengkel-bengkel Rakan Usahawan PUNB sebagai persediaan untuk usahawan Bumiputera terlibat dengan lebih aktif dalam industri berkenaan.

Jelas beliau, sejak penubuhan PUNB sehingga September lalu, badan itu telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM4.46 bilion kepada 10,168 syarikat.

Industri kenderaan bermotor adalah antara tiga sektor utama yang disokong PUNB dengan pembiayaan sebanyak RM713.51 juta disalurkan kepada 2,020 syarikat melibatkan 2,665 usahawan industri automotif.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, bergambar bersama tetamu yang hadir pada majlis perasmian Auto Forum 2024 di Putra Hall B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Sementara itu, antara Januari hingga 30 September tahun ini PUNB telah meluluskan RM161.21 juta kepada 198 syarikat yang melibatkan 267 usahawan.

Menurut beliau, daripada jumlah itu sejumlah RM6.39 juta disalurkan kepada 15 syarikat yang melibatkan 19 usahawan industri automotif.

“Melihat kepada statistik ini, saya percaya jumlah ini masih boleh dipertingkatkan memandangkan masih ramai lagi usahawan automotof diluar sana yang memerlukan sokongan perniagaan agar lebih kukuh dan berdaya saing,” kata beliau.

Sementara itu sejak Prosper AP dibuka Seprtember lalu, PUNB telah menerima permintaan tinggi dengan permohonan berjumlah RM21 juta sedang diproses dan RM10 juta telah diluluskan.

Prosper AP merupakan pakej khas untuk syarikat Bumiputera berstatus sendirian berhad yang berdaftar dengan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan memiliki Permit Diluluskan (AP) untuk mengimport kenderaan bermotor dan motosikal terpakai.

Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta untuk menyokong keperluan modal kerja dan pengubahsuaian premis perniagaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast