Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memulangkan paku buah keras kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menarik diri daripada gerakan reformasi yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, gerakan reformasi oleh PKR telah mengakibatkan beberapa pemimpin parti tersebut dipenjarakan namun perkara sama tidak berlaku kepada Abdul Hadi.

“Saya dengar ucapan Marang baru-baru ini, dulu Marang kata ikut reformasi tapi apabila masuk bertempur polis, saudara kita maka dia pun tunjuk perasaan.

“Kemudian dalam reformasi ramai kena tangkap, yang masuk lokap, penjara kita. (Ahli Parlimen) Marang satu minit pun tidak masuk penjara, tidak pernah.

“(Ahli Parlimen) Bachok berapa minit (Abdul Hadi) pernah masuk lokap?,” soal beliau di Dewan Rakyat.

Mohd Syahir Sulaiman (PN-Bachok) kemudian menjawab Abdul Hadi pernah dimasukkan dalam lokap polis.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan perkara tersebut.

Saifuddin merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa yang berkata, Pas bertindak menarik diri daripada gerakan reformasi setelah mendapati pemimpin gerakan itu hanya duduk di belakang tunjuk perasaan sahaja.

“Dulu, ketika kerajaan dan puak-puak sana melaksanakan reformasi, kami turun bersama dari awal. Ketika itu ada orang tepuk belakang berhadapan dengan pihak polis.

“Namun, apa yang berlaku adalah kami yang banyak masuk lokap, sedangkan mereka yang kelihatan bersemangat, justeru duduk di belakang dan akhirnya menjadi perdana menteri,” kata Abdul Hadi.

Mengulas perkara itu, Saifuddin menegaskan, disebabkan gerakan reformasi tersebut, banyak pemimpin senior dalam PH kini pernah meringkuk dalam lokap polis dan penjara.

“Masuk lokap itu biasa, kami ini masuk lokap tiada masalah, Bachok pernah masuk lokap, tidak.

“Yang dulu kerap masuk lokap (Ahli Parlimen) Kota Raja (Datuk Seri Mohamad Sabu) sebenarnya.

Gerakan reformasi di Malaysia bermula pada September 1998 ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Gerakan reformasi oleh PKR ketika itu melancarkan demonstrasi besar-besaran, ketidaktaatan dan rusuhan di sekitar ibu negara pada tahun 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast