Allahyarhamah Zuraida (kanan) sebelum ini aktif motivasi dan semangat kepada pesakit kanser sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 12 Oktober lalu

JOHOR BAHRU – Anak kepada aktivis dan penulis buku Our Cancer Story, Zuraida Hamzah yang menghembuskan nafas terakhir bulan lalu, mahu meneruskan perjuangan ibunya melawan kanser.

Nurul Zahidah Nordin, 28, berkata, semangat, cita-cita dan azam ibunya yang menemui pencipta pada 12 Oktober lalu akilbat kanser memberinya inspirasi untuk menyambung perjuangan Zuraida.

Dia berkata, kegigihan ibunya pada saat akhir bertarung dengan kanser namun terus mendampingi wanita senasib dengannya tidak akan disia-siakannya.

Semasa hayat Zuraida kata anak sulung daripada tiga beradik itu, ibunya berpeluang menziarahi lebih 100 pesakit kanser yang senasib dengannya di seluruh negara bagi memberi semangat dan motivasi.

Katanya, Zuraida yang menghidap kanser payudara sejak Mei 2022 juga mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi menghimpun lebih 100 pesakit kanser.

Pembantu Penyelidik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, itu menjadi platform bagi ahli kumpulan berkongsi cabaran serta pengalaman masing-masing.

“Ada pesakit kanser yang memiliki hubungan baik dengan ibu hasil perkenalan di alam maya dan mereka selesa dengan sikap ibu yang penyayang dan sentiasa ceria.

“Malah inisiatif ibu untuk memgabadikan kisah kehidupannya menerusi buku berjudul Our Cancer Story dan melancarkannya pada pertengahan tahun lalu menerima sambutan baik.

“Ini kerana ia bukan saja bertujuan untuk beramal menerusi hasil jualannya malah kisah ibu menjadi penguat semangat kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Nurul Zahidah berkata, antaranya ibu beliau mahu menyampaikan mesej kepada ramai bahawa kemoterapi bukan sesuatu yang menakutkan dan mampu mengubati kanser.

Katanya, Zuraida mahu pesakit kanser sedar dan anggap ujian yang diterima itu merupakan peluang untuk mereka mendekatkan diri dengan Allah.

“Ibu pernah menjaga bapa saya yang juga pesakit kanser kolon pada 2013 dan pada 2021, ibu pula disahkan menghidap leukemia.

“Dalam tempoh memberi penjagaan kepada bapa saya, ibu pernah berkampung di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan di Hospital Ampang,” katanya.

Pemergian ibunya, kata Nurul Zahidah, adalah di luar jangkaan kerana wanita itu adalah seorang yang kuat semangat dan berjuang melawan kanser sehingga saat terakhir.

Menurutnya, dia serta dua adiknya, Fikrii, 24, dan Suhailah, 22 akan berusaha bagi meneruskan kerja-kerja amal ibu mereka termasuk terus menjual buku.

“Sehingga kini sebanyak 250 naskah sudah dijual dan kami bercadang untuk mencetak lagi supaya penjualannya terus memanfaatkan orang ramai terutama pesakit kanser.

“Kami reda dengan pemergian ibu dan yakin ia adalah ketentuan Allah, ibu kini tidak menanggung sakit lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here