PETALING JAYA – Sebuah beg berisi wang tunai sebanyak RM1 juta yang dilaporkan hilang yang disyaki terjatuh dari sebuah van syarikat keselamatan di Ampang Jaya semalam telah ditemui.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, semasa kejadian beg itu dibawa keluar dari sebuah bank di Ampang Point, Ampang menuju ke arah Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati beg itu dipercayai terjatuh semasa van itu melalui selekoh sebelum menaiki Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
“Orang ramai yang melalui laluan yang sama telah berjaya menjumpai beg berisi wang itu di tepi jalan lebuh raya tersebut selepas laporan polis diterima pada hari sama kejadian,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Sasikala, beg berisi wang itu diserahkan kepada IPD berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenai kejadian itu pada 3.55 petang semalam.
Kata Mohd Azam, bertindak atas laporan polis itu, satu kertas siasatan telah dibuka bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Masih tiada laporan dibuat berhubung kehilangan beg berisi wang RM1 juta – Rusdi