Monsun Timur Laut dijangka melanda Selangor bermula 23 Oktober ini.
Gambar hiasan

KUANTAN- Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Pahang telah mengagihkan sejumlah 224.296 tan makanan kering kepada 165 pangkalan hadapan di seluruh Pahang.

Pengarahnya Khairul Amri Ahmad berkata langkah itu persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula Selasa lalu.

Jelas Khairul Amri, penghantaran bekalan disesuaikan mengikut keperluan setiap kawasan.

“Setiap pangkalan hadapan menerima bekalan untuk tempoh antara tiga hingga 14 hari bergantung kepada lokasi.

“Sebagai contoh, kawasan terputus hubungan seperti Pulau Tioman, Rompin akan menerima bekalan untuk tempoh 10 hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Manakala bagi kawasan pedalaman seperti Ulu Tembeling, Jerantut, bekalan diberikan untuk tempoh 14 hari bagi memastikan kelangsungan bantuan semasa bencana.

Selain itu bantuan bencana lain yang merangkumi makanan sedia dimakan dan barang keperluan asas seperti toto, tikar, selimut, tuala mandi, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, kain batik dan kain pelikat.

Malah sepanjang tempoh MTL ini kit kesihatan dan kit makanan di semua stor bencana di daerah-daerah di Pahang juga diperiksa bagi memastikan kelengkapan asas tersedia mencukupi.

Untuk rekod sebanyak 861 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri telah didaftarkan bagi  menempatkan mangsa bencana di Pahang.

Terdahulu Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan musim tengkujuh di Malaysia bermula 5 November dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast