Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 17 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Isu adendum terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib kembali hangat di Dewan Rakyat apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan memanjangkan pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Saifuddin Nasution ketika menggulungkan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan di peringkat kementerianya tidak memberikan jawapan kukuh sama ada wujud adendum tersebut atau tidak.

“Sebagai kerajaan, apabila wujud isu adendum, boleh kerajaan jelasnya ada atau tidak adendum itu. Bukan masalah ‘hearsay’, menteri atau perdana menteri boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong dan tanya wujud atau tidak adendum tersebut,” kata Takiyuddin.

Bagaimanapun, Saifuddin menjawab sekiranya ada pertikaian dalam isu tersebut, jalan yang wajar diambil adalah menerusi insitusi mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan mengenai perkara berkenaan.

“Kalau ada pertikaian antara kerajaan dengan rakyat, institusi mana yang membuat keputusan, ia adalah institusi mahkamah.

“Kalau mahkamah kata itu hanya ‘hearsay’, Kota Bharu faham apa maksudnya itu.

“Jadi ia sudah selesai, pandangan Kota Bharu adalah kerajaan kena tanya Lembaga Pengampunan, itu pandangan YB.

“Oleh kerana ada pertikaian, baik mahkamah yang tentukan apabila ada kaitan dengan undang-undang,” jelas Saifuddin.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum.

Adendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Menerusi permohonan yang difailkan April lepas, Najib, memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Jan tahun ini.

Beliau turut memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, kesemua atau satu daripada responden harus menguatkuasakan ia serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 2 September 2022, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mcm ni punya bodoh pun boleh jadi Menteri yaa…isu sama ada titah tambahan DYMM Agong wujud atau tidak, bukan tugas mahkamah laaa..Bila Mahkamah Persekutuan dah jatuh hukum…tugas mahkamah selesai! Perintah tu ialah kpd kerajaan…Hakim Mahkamah tak ada pun dlm Lembaga Pengampunan bahlol

Comments are closed.