KUALA LUMPUR – Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran khususnya yang dibangunkan oleh para guru kini bakal dilindungi sebagai harta intelek, sekali gus tidak lagi boleh digunakan mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Perkara itu antara yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menjelaskan lebih lanjut, Menteri Pendidikan berkata, perlindungan harta intelek bahan pengajaran dan pembelajaran (pdp) akan dapat memastikan sebarang penggunaan bahan pdp karya guru hendaklah perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Jelas beliau, penggunaan bahan pdp karya guru tanpa kebenaran merupakan kerugian dan satu bentuk ketidakadilan kepada para guru yang menghasilkan bahan sumber pdp tersebut.

Dalam masa sama, ujar beliau, perbuatan menggunakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran tanpa kebenaran itu juga boleh menghalang agenda masa depan negara untuk memastikan pendidikan berkualiti menerusi inovasi-inovasi baharu.

“Dalam konteks ini, penting untuk kita terus memastikan inovasi dan bahan pengajaran serta pembelajaran yang dihasilkan oleh para guru benar-benar memberi manfaat dari sudut perundangan kepada mereka yang membangunkannya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

“Saya harap kerjasama seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan sektor pendidikan negara dapat dilindungi khususnya dari segi inovasi terkini dalam bidang pendidikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran MoU itu di Menara MyIPO di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.

Secara umumnya, MoU itu bertujuan memperkenalkan modul harta intelek kepada warga pendidik dan para pelajar sekali gus membentuk generasi yang lebih peka terhadap harta-harta intelek.

Menerusi MoU sama, sebuah modul khas berkenaan harta intelek akan dibangunkan dan dimasukkan sebagai elemen rentas kurikulum (EMK) dalam kurikulum sekolah sedia ada.

Modul itu kelak akan memperkenalkan konsep harta intelek dengan cara mudah difahami oleh para pelajar serta membina asas dan pemahaman kukuh bagi melahirkan generasi yang celik perlindungan harta intelek.

Sementara itu, Armizan berkata, MoU itu merupakan kesinambungan kerjasama KPDN khususnya MyIPO dengan KPM yang dirintis sejak 2011 menerusi penyertaan warga pendidik dalam pelbagai anjuran kementerian terbabit seperti seminar dan sebagainya.

Jelas beliau, MoU itu juga bakal memperkemaskan dan memperkukuhkan lagi kerjasama antara KPDN dan KPM dalam memastikan agenda pembangunan harta intelek dapat dilaksana secara lebih tersusun dan sistematik.

“Hakikatnya para guru adalah pembangun bahan pengajaran dan pembelajaran yang hebat di sekolah dan bahan-bahan inovasi mereka itu wajar diberi perlindungan hak cipta,” katanya.

Untuk rekod, sejak 2011 hingga September lalu, MyIPO telah menerima sebanyak 66 permohonan pendaftaran paten dan perbaharuan utiliti serta 128 permohonan hak cipta dengan sebahagian besarnya merupakan permohonan paten atas nama sekolah di bawah KPM dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here