Lapangan Terbang Changi, Singapura. foto Facebook

SINGAPURA – Lapangan Terbang Changi Singapura akan secara beransur-ansur meningkatkan caj kepada penumpang dan syarikat penerbangan antara tahun 2025 dan 2030 bagi membiayai pelaburan sebanyak S$3 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan di keempat-empat terminalnya.

Menurut Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), kenaikan ini juga akan membantu menampung kos operasi yang lebih tinggi, termasuk kos tenaga kerja dan tenaga.

“Kenaikan caj ini turut mengambil kira pelaburan terdahulu yang dibuat semasa pandemik Covid-19, apabila caj dikekalkan dari 1 April 2020 hingga 1 November 2022, dan kenaikan yang dirancang ditangguhkan untuk membantu syarikat penerbangan menghadapi krisis,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Selepas semakan, Caj Perkhidmatan dan Keselamatan Penumpang (PSSF) untuk penumpang yang berlepas dari lapangan terbang yang kini ditetapkan pada S$46.40, akan meningkat sebanyak S$3 setiap tahun selama empat tahun mulai 1 April 2027.

Di samping itu, Levi Penerbangan bagi penumpang yang berlepas akan meningkat sebanyak S$2, dari S$8 ke S$10, pada April 2027.

Caj untuk penumpang transit atau pemindahan, yang kini S$6, akan meningkat sebanyak S$3 setiap tahun bagi tiga tahun pertama bermula 1 April 2025, diikuti peningkatan sebanyak S$1 setiap tahun untuk tiga tahun berikutnya.

Caj pendaratan, tempat letak pesawat, dan jambatan udara (LPA) untuk syarikat penerbangan juga akan diselaraskan setiap tahun, bermula 1 April 2025.

Sebagai contoh, caj LPA untuk pesawat berbadan sempit A320, yang kini sekitar S$1,200 setiap pendaratan, akan meningkat purata S$110 setiap pendaratan bagi tiga tahun pertama, dan purata S$65 setiap pendaratan untuk tiga tahun berikutnya.

Sementara itu, caj LPA untuk pesawat berbadan lebar A350, yang kini sekitar S$3,600, akan meningkat purata S$290 setiap pendaratan setiap tahun bagi tiga tahun pertama, dan purata S$190 setiap pendaratan untuk tiga tahun berikutnya.

CAG dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) mengadakan rundingan dengan  syarikat penerbangan utama mengenai semakan caj lapangan terbang ini.

Untuk membantu syarikat penerbangan semasa tempoh peralihan, CAG akan memberikan rebat 50 peratus ke atas kenaikan caj LPA selama enam bulan, dari 1 April 2025 hingga 30 September 2025. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast